DUN Selangor: Tidak timbul isu ketiadaan ketua kampung ketika ini, lantikan dimuktamad bulan depan

Kerajaan negeri membenarkan pelanjutan perkhidmatan ketua-ketua kampung tradisi sedia ada sehingga 31 Mac ini

1:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelantikan ketua kampung tradisi di Selangor yang hangat dibahaskan minggu lalu akan dimuktamadkan bulan depan.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, susulan itu tidak timbul isu ketiadaan ketua kampung ketika ini kerana perkhidmatan ketua-ketua kampung tradisi sedia ada dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

“Sukacita saya ingin memaklumkan, Insya-Allah kerajaan negeri dijangka memuktamadkan pelantikan ketua-ketua kampung tradisi bagi penggal yang baharu menjelang April tahun ini.

“Daripada segi kesinambungan pemilihan di peringkat kampung, saya beri jaminan bahawa tiada isu ketiadaan ketua kampung ketika ini memandangkan kerajaan negeri memberikan pelanjutan perkhidmatan ketua-ketua kampung tradisi sedia ada sehingga 31 Mac ini.

“Jadi sama-samalah kita doakan agar perkara ini diselesaikan dalam masa terdekat. Insya-Allah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ingin mengetahui status pelantikan ketua kampung tradisi dalam perbahasannya pada Rabu lalu.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang sebelum ini mempersoalkan isu pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ketua-ketua kampung tradisi kerana kerajaan negeri didakwa masih belum menyelesaikan isu pengagihan jawatan tersebut.

“Hari ini 28 Februari, sidang akan berakhir 11 Mac belum ada penyelesaian tentang pengagihan jawatan ahli majlis dan ketua-ketua kampung. Baru runding…baru surat pekeliling, masalah di bawah semakin rumit, sama ada di peringkat PBT dan kampung.

“Alasan diberikan tak ada formula. Saya kira Sekinchan boleh rujuk pakar formula di peringkat Persekutuan. Inilah yang menyebabkan saya kira pada pandangan saya, Tuanku Sultan Selangor telah mengeluarkan dua titah.

“Jadi persoalan saya, oleh kerana YB (Yang Berhormat) Exco tiada formula, rundingan masih berjalan. YB Menteri Besar belum dapat menyelesaikan. Akhirnya ada persetujuan, tak apalah mereka ambil PBT, Umno ambil kampung. Ini perpaduan apa? Yang menderita rakyat di bawah, pembayar cukai di bawah,” katanya.

Sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, tiada formula mahupun kuota ditetapkan berkaitan pengagihan jawatan Pengerusi Majlis Pengerusi Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun mengikut parti-parti komponen yang membentuk kerajaan.

Menurutnya, daripada 77 Pengerusi Kampung Baru/Bagan/Tersusun di Selangor, 46 adalah daripada DAP manakala 31 lagi daripada PKR.

“Pembahagian kuota antara parti adalah berdasarkan perbincangan dan persetujuan di antara kedua-dua parti tersebut.

“Formula pelantikan bagi ketua-ketua kampung tradisi juga ditentukan berdasarkan rundingan dengan pimpinan parti-parti politik di dalam gabungan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, apabila persetujuan dicapai, proses pemilihan jawatan tersebut dibuat mengikut Garis Panduan, Dasar, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor. – 4 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

No tolerance for racial, religious hatred, PM warns of severe action

I can stand to be attacked, but I draw the line at others inciting hate using racial and religious sentiments, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Related