PKNS masih untung, tidak tanggung hutang RM5.7 bilion: MB Selangor

Sumber pendapatan PKNS dari 2018 hingga 2022 adalah daripada jualan bangunan, penjualan tanah dan penswastaan

7:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyangkal dakwaan prestasi kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

Menurutnya, kedudukan kewangan anak syarikat kerajaan negeri itu berada dalam keadaan baik dan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

“Aliran tunai PKNS juga berada pada tahap yang lebih baik yang mana ia mampu membayar semua liabiliti perbadanan itu berdasarkan operasi dan bukan daripada pendapatan sukuk atau pinjaman yang dibuat.

“Sumber pendapatan PKNS dari 2018 hingga 2022 adalah daripada jualan bangunan, penjualan tanah dan penswastaan.

“Pendapatan utama PKNS pada tahun-tahun itu adalah daripada penjualan tanah yang berjumlah kira-kira 60 hingga 80 peratus daripada keseluruhan pendapatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang ingin mengetahui sama ada PKNS sedang menanggung hutang besar berjumlah RM5.7 bilion.

Mohamed Azmin turut meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung tindakan PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion, kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Beliau juga memetik laporan daripada kertas perniagaan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah, Tropicana Corporation Bhd, memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, keputusan menjual hak pembangunan PJ Sentral dilakukan untuk keluar daripada perangkap aliran tunai.

“Berdasarkan pengalaman kami bekerja dengan sektor swasta, bukan semuanya mencatat keuntungan memberangsangkan. Saya ambil contoh, sepanjang jajaran kita bangunkan dengan sebuah syarikat di kawasan Tropicana.

“Kita dapat lihat nilai pembangunan di sana bernilai berbilion ringgit. Tetapi nilai kerjasama yang kita perolehi hanyalah sekitar RM160 juta daripada nilai pembangunan di kawasan Kota Damansara. Justeru, kita tidak mahu lagi ada perjanjian seperti itu.

“Kita tak nak apa yang berlaku sebelum ini seperti Datum dan PJ Sentral memberikan ‘trap income’ dan perangkap aliran tunai yang akhirnya memberikan impak kepada kedudukan kewangan PKNS,” katanya. – 4 Mac 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

A man with fire in his belly: Jagdeep remembers his father Karpal’s strength in the face of disability

Despite paralysis from a tragic accident, the DAP stalwart remained a fearless fighter—his legacy now upheld by his son

Related