Felda alami kerugian bersih RM1.005b, hampir dua kali ganda berbanding 2021

Berdasarkan baki tunai dan kesetaraan tunai sedia ada, Felda tidak berupaya untuk memenuhi komitmen berjumlah RM0.753 bilion

10:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion berdasarkan penyata kewangan tahun 2022, berbanding RM0.545 bilion pada 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), kedudukan tunai dan kesetaraan tunai Felda pada 31 Disember 2022 adalah sejumlah RM0.808 bilion.

Namun Felda mempunyai komitmen yang signifikan berjumlah RM1.561 bilion, iaitu liabiliti tanam semula berjumlah RM0.753 bilion dan geran Kerajaan Persekutuan yang belum dibelanjakan berjumlah RM0.808 bilion.

Untuk itu jelas LKAN, berdasarkan baki tunai dan kesetaraan tunai sedia ada, Felda tidak berupaya untuk memenuhi komitmen berjumlah RM0.753 bilion.

“Pihak audit mendapati komitmen bayaran balik pinjaman berbanding kecairan tunai menunjukkan wujud ketidakpastian terhadap keupayaan Felda dan kumpulan untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan. Felda bergantung kepada kerajaan dan pembiayaan institusi kewangan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.

“Baki pinjaman daripada institusi luar Felda setakat 31 Disember 2022 adalah berjumlah RM8.659 bilion (2021: RM8.809 bilion). Pinjaman ini dibuat bagi penstrukturan semula pinjaman Felda pada 2018 hingga 2022. Di peringkat kumpulan, jumlah baki pinjaman daripada institusi luar (Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan) setakat 31 Disember 2022 adalah RM15.117 bilion (2021: RM15.903 bilion),” katanya.

LKAN menambah, baki geran kerajaan setakat 31 Disember 2022 adalah berjumlah RM0.808 bilion dan pada 2022, Felda telah menerima geran sejumlah RM0.214 bilion.

“Geran kerajaan menurun sejumlah RM0.128 bilion (37.4%) disebabkan pengurangan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan pada tahun semasa. Pengurangan geran yang diterima oleh Fleda menjejaskan kelangsungan operasi kerana Felda banyak bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Pinjaman Felda diperoleh daripada institusi kewangan pula berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM0.686 bilion. Jumlah pinjaman daripada institusi kewangan dan Kerajaan Persekutuan menunjukkan Felda mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang,” katanya.

Menurut LKAN, pinjaman di peringkat kumpulan termasuk perjanjian Kemudahan Pembiayaan Tawarruq yang dimeterai pada 2016 oleh syarikat subsidiari Felda iaitu FIC Properties (FICP) dengan Govco Holdings Berhad (GovCo), sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) berjumlah RM2.500 bilion.

Pinjaman tersebut adalah untuk membiayai perolehan 37 peratus ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk, sebuah syarikat yang diperbadankan di Indonesia.

Jumlah prinsipal yang dikeluarkan oleh FICP adalah sebanyak RM2.250 bilion.

“Bagaimanapun, FICP gagal membayar balik pinjaman tersebut menyebabkan Felda telah memeterai perjanjian baharu dengan GovCo pada 2017 sebagai jaminan korporat bagi Kemudahan Pembiayaan Tawarruq tersebut. Kumpulan FELDA dikehendaki membayar balik kepada GovCo berjumlah RM0.200 bilion pada 11 April 2023 dan RM2.878 bilion pada 11 April 2024.

“Pembayaran balik berjadual pada 11 April 2024 melebihi baki wang di tangan dan di bank Kumpulan Felda pada 31 Disember 2022. Felda mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq setelah GovCo meluluskan pelan penstrukturan bayaran balik kepada Felda bertarikh 19 Disember 2023 sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun pertama mulai tahun 2024

“Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai 2029. Kegagalan untuk memenuhi bayaran permulaan pada 2024 akan mengakibatkan pembatalan dan penamatan pelan penstrukturan kemudahan yang telah diluluskan tersebut. Pengurangan sebanyak 50 peratus keuntungan atas Kemudahan Pembiayaan Tawarruq berjumlah RM0.233 bilion juga bergantung kepada pematuhan jadual bayaran balik oleh Felda,” tegas LKAN.

Oleh yang demikianm, bagi menambah baik tunai dan kesetaraan tunai Felda dan Kumpulan, pihak audit mengesyorkan perkara berikut:

  • Menentukan hala tuju yang jelas supaya Felda dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan yang tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan Kerajaan Persekutuan; dan
  • Meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiari bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan dan terus berdaya maju tanpa kebergantungan kepada agensi induk seterusnya berupaya untuk memberi pulangan yang baik kepada Felda. – 6 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Related