KPWKM, PDRM kerjasama ‘imbas’ calon pengasuh Taska: Nancy

Langkah itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak terbabit dengan sebarang kes jenayah

1:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ‘mengimbas’ setiap individu yang ingin menjadi pengasuh di taman asuhan kanak-kanak (Taska) milik agensi kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak terbabit dengan sebarang kes jenayah.

Katanya, kerjasama itu antara inisiatif dilakukan kementerian bagi memastikan pengasuh melindungi dan memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada anak asuhan, selain mengelakkan berlaku kes jenayah, seperti penderaan dan kematian kanak-kanak terbabit.

“Kita juga memberi prosedur operasi standard (SOP) apabila kita mendengar banyak kes, maka kita tambah lagi SOP, itu bukan menyusahkan tetapi ia untuk membantu taska itu.

“Sebab itu kita pastikan juga adanya CCTV (kamera litar tertutup) bagi membolehkan kita mengawasi apa berlaku dalam taska.

“Jadi sebab itu kita pastikan keselamatan mereka (kanak-kanak) adalah terjamin dan operator juga perlu memastikan pengasuh mereka ini mempunyai kelayakan untuk menjaga serta mengasuh golongan berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Dalam soalan dikemukakannya, Kui Lun bertanya mengenai apakah langkah proaktif sedang diambil kerajaan bagi mengelakkan kes penderaan dan kematian kanak-kanak di Taska, memandangkan insiden berkenaan yang membabitkan golongan itu, semakin bertambah.

Nancy berkata, JKM turut menetapkan SOP membabitkan ‘peringatan’ di Taska yang beroperasi di bangunan kerajaan, iaitu memastikan sama ada anak asuhan pusat itu sudah tiba ke premis berkenaan atau sebaliknya,

“Jika belum tiba dalam tempoh 30 minit, kita akan pastikan kenapa anak tu tak sampai, itu menjadi SOP kita,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad mengenai berapa kos untuk syarikat kerajaan dan swasta membuka taska, Nancy berkata, ia terpulang kepada pihak berkenaan.

“Mengenai kos operasi, biasanya pihak swasta itu terpulang kepada mereka, bergantung perkhidmatan fasiliti yang dia nak bagi, apakah modul mereka nak gunakan, kerajaan punya pun itu terpulang kepada operator dia juga,” katanya.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, mana-mana pihak yang ingin menubuhkan taska perlu mendaftarkan pusat itu dengan JKM, selaras peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).

Ujarnya, terdapat empat jenis taska yang boleh didaftarkan, iaitu taska institusi, taska di tempat kerja, taska komuniti dan taska di kediaman.

KPWKM, katanya, sentiasa menyokong usaha agar pihak majikan menyediakan taska di tempat kerja sebagai satu daripada sistem sokongan kepada ibu bapa agar mereka dapat bekerja dengan lebih komited, menghasilkan mutu perkhidmatan lebih baik dan meningkatkan produktiviti tugas.

“Berdasarkan statistik JKM, hingga Disember 2023, terdapat 265 taska tempat kerja di seluruh negara meliputi 221 taska yang disediakan majikan di sektor awam, manakala 44 disediakan sektor swasta,” katanya. – 27 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related