KUALA LUMPUR — Seorang bekas guru mengakui gaji atau elaun yang diberikan sememangnya rendah dan tidak sampai RM1,000, malah ada yang mendapat sekitar RM800 ke bawah meskipun mempunyai pengalaman mengajar.
Namun, kata Naim Roslan, 38, petugas Pasti sedia maklum kutipan yuran tadika itu tidak tinggi dan ia hanya dibuka separuh hari.
“Kutipan yuran tidak tinggi bagi mengurangkan beban ibu bapa dan ada tadika Pasti yang dibuka hanya separuh hari sahaja. Sesiapa yang menjadi guru di Pasti kena sedia maklum mengenai perkara itu,’’ katanya kepada Scoop.

Ditanya sama ada mereka yang bertugas di Pasti diminta menyokong PAS, Naim yang kini mengajar di tadika lain berkata dia tidak pernah diminta berbuat demikian.
Naim bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku di cawangan Pasti tertentu sahaja.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Pasti milik PAS adalah aktiviti sukarelawan membabitkan ahli parti, bukannya antara pekerja dengan majikan, selain ia bukan aktiviti perniagaan.
Ia rentetan memo Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM) mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam, yang didakwa membayar gaji petugas di bawah kadar gaji minimum.

Guru Pasti didakwa dibayar serendah RM500, bergantung yuran dibayar ibu bapa dan kadarnya pula berbeza mengikut kawasan, selain dilaporkan tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tiada pencen dan tuntutan kerja lebih masa.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas guru Pasti yang mahu dikenali sebagai Cikgu Ida berkata, setiap guru bertugas di Pasti sememangnya menyedari elaun yang terima dalam jumlah yang kecil.
“Namun, jumlah besar atau kecil itu bukan isunya kerana rata-rata guru di Pasti memahami kekangan kewangan begitu juga bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini.
“Objektif utamanya ialah menerapkan anak bangsa dengan ilmu pengetahuan dan agama, itu paling penting,” katanya yang kini hanya menjadi suri rumah selepas berhenti mengajar di Pasti. – 30 Mac, 2024