Hairan mengapa Mokhzani, Mirzan turut disiasat sedangkan subjek utama Mahathir: Mukhriz

SPRM sebelum ini meminta Tan Sri Mokhzani dan Mirzan mengisytiharkan harta masing-masing bagi membantu siasatan tersebut

6:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir berasa hairan kenapa dua abangnya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedangkan suspek utama siasatan adalah bapa mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mukhriz, yang juga Presiden Pejuang, berkata beliau melihat sendiri notis yang ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan siasatan dijalankan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Notis itu juga, katanya, mengarahkan Tan Sri Mokhzani dan Mirzan mengisytiharkan harta masing-masing bagi membantu siasatan tersebut.

“Tapi memang daripada awal kita rasakan agak pelik di mana siasatan ke atas seorang itu yang kononnya mungkin disyak menyalahgunakan kuasa, kita belum pasti (tuduhan) sebab tak diberikan (maklumat) secara terperinci.

Menurut Mokhzani, bapanya adalah ‘suspek utama’ agensi antirasuah itu, sementara beliau dan abangnya, Mirzan Mahathir, adalah ‘saksi kepada apa sahaja yang mereka siasat’ – Gambar Scoop, 31 Mac, 2024

“Tapi yang disiasat adalah anak kepada orang yang didakwa (Dr Mahathir) itu, jadi inilah yang kita rasa pelik sikitlah,” katanya pada program berbuka puasa bersama parti Pejuang, semalam.

Klip video itu dimuat naik menerusi saluran Malaya Daily di YouTube.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad didakwa menjadi sasaran siasatan selama sebulan oleh SPRM, demikian dakwaan dua anak lelakinya, yang turut terbabit dalam siasatan berterusan itu.

Menurut Mokhzani, bapanya adalah ‘suspek utama’ agensi antirasuah itu, sementara beliau dan abangnya, Mirzan Mahathir, adalah ‘saksi kepada apa sahaja yang mereka siasat’.

Mokhzani juga berkata beliau dan Mirzan telah meminta butiran siasatan daripada SPRM ke atas mereka, yang menyaksikan kedua-duanya diarahkan mengisytihar harta sejak 1980-an, ketika Dr Mahathir pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada 18 Januari lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan mengesahkan telah memanggil Mirzan ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hampir sebulan kemudiannya, Mirzan diberikan tempoh 30 hari lagi bagi membolehkan beliau untuk mengisytiharkan hartanya kepada SPRM.

Pada 26 Januari pula, SPRM telah menyerahkan satu perintah notis kepada Mokhzani untuk beliau mengisytihar harta di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Mokhzani dilaporkan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

Namun pada 20 Februari lalu, beliau telah memohon untuk melanjutkan tempoh sebulan lagi bagi mengisytihar harta.

Dalam satu kenyataan bersama pada 8 Februari lalu, Mirzan dan Mokhzani menegaskan, mereka sedang menyusun maklumat mengenai pengisytiharan aset seperti diminta SPRM.

Mereka berkata, penyusunan itu memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkaitan untuk membantu dan menasihati mengenai proses terbabit. – 31 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related