Jakim sudah bertemu pengasas Vern’s, beri peringatan tegas

Hakimah berkata, pihak Vern’s Holding Sdn Bhd sudah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf

2:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengingatkan pihak Vern’s Holding Sdn Bhd sentiasa cakna dan memberikan perhatian serius terhadap isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata, peringatan itu diberikan Jakim ketika mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo hari ini.

Menurutnya, pertemuan itu diadakan di bangunan Jakim bagi tujuan siasatan dan mendapatkan penjelasan daripada Chuan Hoo, mengenai isu dakwaan terdapat logo mirip kalimah Allah di kasut tumit tinggi keluaran syarikat itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff. – Gambar Bernama, 8 April, 2024

“Seperti diarahkan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), pada hari ini Jakim mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenainya, selain langkah pihak syarikat berkenaan untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak Vern’s Holding Sdn Bhd sudah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf.

“Pihak syarikat sudah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan.

Tegasnya, Jakim memandang serius isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah itu kerana ia jelas mengaitkan sensitiviti umat Islam.

Isu berkenaan, katanya, boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Beliau berkata, Jakim menyokong penuh tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM ) dalam mengadakan siasatan lanjut mengenai isu berkenaan.

Katanya, siasatan PDRM itu termasuk mengenalpasti sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut terbabit, bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berlandaskan undang-undang di negara ini.

Hakimah berkata, Jakim juga tidak mahu kes seperti itu berulang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn Bhd atau semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan.

“Jakim turut memperingatkan dengan tegas kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu sensitif, melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak dinasihatkan tidak membangkitkan isu menyentuh aspek 3R, iaitu agama, raja dan kaum yang boleh menimbulkan ketegangan serta menjejaskan keharmonian.

“Berhubung isu logo kasut ini, mereka perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes berkenaan sudah dibuka kertas siasatan,” katanya. – 8 April, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related