KUALA LUMPUR – Kek lapis Baklava yang berharga RM650 seloyang kini menjadi viral di Samarahan, Sarawak dan meskipun harganya tinggi, ia tetap menjadi pilihan.
Ia dijual oleh kedai Abg K’ju Cake House di Taman Desa Ilmu, Kuching.
Menariknya, meskipun ia dijual pada harga ‘kayangan’ namun kek lapis itu laris serta mendapat perhatian ramai.
Berdasarkan Facebook Abg K’ju, kek lapis Baklava, harga kek lapis separuh loyang adalah RM330 manakala loyang standard (115).
“Tambah lagi Kek Lapis Baklava, hari tu ada 20 orang beli seloyang RM650,’’ demikian tulisnya dalam Facebook.
Namun bagi yang ingin merasa kek berkenaan, kedai berkenaan turut menyediakan saiz kecil berharga RM2.50 namun ia hanya dihadkan kepada lima keping sahaja.
“Sebab niat utama Abg K’Ju adalah supaya semua orang merasa kek super kayangan berlian ini. Jadi maaf sekali lagi, had 5 keping,’’ demikian tulisnya.
Selain Kek Lapis Baklava, ia turut menjual kek-kek lapisa lain dan kedainya itu dibuka sehingga petang esok, bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan rasa terkejut dengan harga kayangan berkenaan dan hanya mampu membeli sekeping sahaja, yang berharga RM2.50.
Tidak kurang pula yang meminta resepi daripada Abg K’Ju dan ternyata beliau tidak kedekut malah memaklumkan pernah memberikan resipi kek sebelum ini di dalam Facebooknya.
Namun bagi Titi Asmirah, harga seloyang RM650 itu adalah normal berdasarkan kepada bahan-bahan yang digunakan dalam kek lapis itu.
“Pistacio yang digunakan dalam kek dan ditabur di atas kek di tambah lagi dengan pure butter, normal juga harga itu sebenarnya,’’ katanya. – 8 April, 2024