Pengawal peribadi terkena tembakan di KLIA sudah sedar, perlu jalani dialisis sementara: Isteri

Dia juga tidak lagi bergantung bantuan alat pernafasan tetapi masih kekal dirawat di ICU

4:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengawal peribadi yang terkena tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu, Muhammad Nur Hadith Zaini, 38, sudah mula sedar selepas menjalani pembedahan di Hospital Cyberjaya, Selasa lalu.

Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya sudah tidak lagi bergantung dengan bantuan alat pernafasan tetapi masih kekal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Alhamdulillah. Suami sudah sedar dan boleh cakap sikit-sikit. Mesin pernafasan sudah dihentikan pagi tadi,” katanya kepada Scoop.

Bagaimanapun, Siti Noraida berkata, suaminya itu perlu menjalani dialisis sementara kerana tembakan itu menjejaskan buah pinggangnya.

“Dialisis sementara sudah dilakukan tadi. Dialisis seterusnya tak tahu bila, perlu dapatkan nasihat pakar buah pinggang dulu,” katanya.

Sebelum ini, Scoop melaporkan Muhammad Nur Hadith selamat menjalani pembedahan usus dan sedang ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Cyberjaya pada Selasa lalu.

Muhammad Nur Hadith dimasukkan ke dewan bedah kira-kira 12 tengah hari Selasa lalu sebelum prosedur itu selesai pada 4.30 petang.

Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal peribadi parah selepas terkena tembakan dilepaskan suspek, Hafizul Harawi, 38, dalam kejadian pada jam 1.30 pagi Ahad lalu.

Berdasarkan siasatan, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya sendiri yang dikenali sebagai Ustazah Farah Cie yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA, sebelum peluru dilepaskannya tersasar dan terkena mangsa.

Menurutnya, suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum satu daripada peluru itu terkena Muhammad Nur Hadith. – 17 April, 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Interfaith Council concerned over proposed guidelines on Muslim participation in non-Muslim events

It said the guidelines mooted by the government, could have implications for religious understanding, tolerance, and acceptance among all Malaysians

Related