KUALA LUMPUR – Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid terlepas aksi pembukaan Liga Super (Liga M) musim 2024-2025 menentang Perak FC, Sabtu ini berikutan kecederaan yang dialami akibat disamun, Khamis lalu.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas mengesahkan, pemain kebangsaan itu kini sedang berehat susulan kecederaan yang dialami di bahagian kepala dan kaki kiri.
Pemain berusia 25 tahun itu, katanya berkemungkinan diturunkan dalam perlawanan kedua menentang Penang FC di Stadium Bandaraya pada 19 Mei.
“Akhyar kini sedang berehat di rumahnya ditemani ahli keluarga yang lain. Untuk perlawanan pertama menentang pasukan Perak pada 11 Mei ini, Akhyar tak sempat nak main disebabkan masih lagi dalam tempoh recovery.
“Untuk perlawanan kedua pada 19 Mei menentang Pulau Pinang, mungkin dia dah boleh main.
“Doktor nasihatkan dia perlu berehat sekurang-kurangnya dalam tempoh satu minggu sebab ada jahitan di kepala dan kaki kiri berikutan kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Khamis lalu, Akhyar cedera di kepala apabila disamun di Kuala Terengganu.
Dia dikatakan baru turun dari kereta sebelum dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali.
Pemain kelahiran Kedah itu kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri selain menanggung kerugian hampir RM5,000.
Ketika ditanya keadaan Akhyar, Mohd Sabri berkata, Akhyar tidak trauma namun masih terkejut dengan insiden yang menimpanya itu.

“Akhyar tidak trauma cuma masih terkejut sebab kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia pun tidak jangka benda macam itu akan berlaku ke atas dirinya.
“Saya merasakan ini merupakan serangan secara random (rambang), cuma kita terkejut sebab ia berlaku di tempat ramai orang.
Ditanya sama ada TFC akan menyediakan khidmat pengawal peribadi kepada pemain-pemain, beliau berkata, mereka tidak bercadang untuk menyediakan perkhidmatan itu.
“Cuma kita pesan kepada semua pemain agar jangan keluar rumah sendirian, biar berteman lebih-lebih lagi pada waktu malam sebab kita tidak jangka benda-benda macam ini boleh berlaku. – 5 Mei, 2024