KUALA LUMPUR — Siling di Unit Perdagangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan dekat Wangsa Maju telah mengalami kebocoran serius dan mengakibatkan limpahan air dari bumbung menerusi siling ke seluruh kawasan pejabat Unit Perdagangan (pintu 4).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha berkata, kejadian berlaku pada jam 2.10 petang tadi.
Menurut beliau, tindakan awal diambil dengan mematikan suis elektrik di papan agihan dan memeriksa keadaan bumbung Unit Perdagangan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat air bertakung kerana saluran air tersumbat yang menyebabkan air melimpah.
“Tindakan membersihkan saluran tersebut dilakukan dengan serta-merta bagi memastikan saliran air berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, pihak Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKR WPKL) juga telah hadir bagi memutuskan punca kuasa elektrik di Unit Perdagangan.
Katanya, pihak JKR WPKL (Sivil) juga dijadualkan datang untuk membuat pemeriksaan lanjut pada jam 9 pagi esok bagi mengenal pasti punca berlaku limpahan air tersebut dan memastikan tahap keselamatan pejabat untuk kembali beroperasi dan juga cadangan penambahbaikan.
“Pada masa yang sama pihak JPJ telah mengambil langkah awal dgn memindahkan operasi unit perdagangan di pintu 5 dan 2 bagi memastikan operasi unit ini tidak terganggu,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa video dan gambar menunjukkan bumbung pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Wangsa Maju dekat sini bocor menyebabkan ruang pejabat dimasuki air hujan. – 7 Mei, 2024