KUALA LUMPUR – Selepas mendapat campur tangan Ahli Parlimen Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, masalah ketiadaan kerusi dan meja untuk 34 pelajar di sebuah sekolah agama di Jasin, Melaka sehingga menyebabkan mereka terpaksa belajar di atas lantai berjaya diselesaikan.
Dr Akmal menerusi perkongsian di Facebooknya malam ini memaklumkan, masalah tersebut dapat ditangani dalam masa 24 jam.
“Alhamdulilah meja dan kerusi anak-anak selesai dalam 24 jam. Tidak perlu tunggu lapan bulan melayan birokrasi yang melampau.
“Semoga anak-anak kita ini dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya.
Dalam video itu, Dr Akmal meluangkan masa meninjau suasana di bilik kelas murid terbabit yang jelas kelihatan gembira mendapat meja dan kerusi baharu untuk belajar.
“36 (kerusi) semua ada. Dah selesai dah, tak payah pakai rehal lagi dah. Dah boleh duduk atas kerusi. Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, pemberian kerusi dan meja baru itu sempena sambutan Hari Guru yang diraikan 16 Mei setiap tahun.
“Oh hari ini, sambutan Hari Guru eh, hadiah Hari Guru lah ni,” katanya sambil disambut ucapan terima kasih murid dan guru sekolah terbabit.
Di akhir video tersebut, seorang guru di sekolah terbabit turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Akmal di atas inisiatifnya itu.
“Terima kasih YB (Yang Berhormat),” katanya.
Terdahulu, Dr Akmal mengadakan lawatan mengejut ke sekolah berkenaan, kelmarin, selepas menerima aduan daripada ibu bapa murid terbabit.
Satu rakaman video berdurasi 3.53 minit menunjukkan beliau jelas terkilan melihat keadaan 34 murid terbabit duduk di atas lantai beralaskan tikar getah ketika mengikuti pembelajaran di dalam kelas.
Seterusnya, beliau dilihat berbincang dengan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan dari Bahagian Pendidikan (Pendidikan, Guru dan Pembangunan Sekolah) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Namun, keadaan mulai ‘panas’ apabila Dr Akmal tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan pegawai terbabit dan berlaku ‘perang mulut’ antara mereka berdua.
Dr Akmal menegaskan, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana bajet untuk membeli meja dan kerusi terbabit sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, Jaim memaklumkan akan menyelesaikan segera isu ketiadaan kerusi dan meja membabitkan murid Tahun Tiga di sekolah terbabit.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau maklum mengenai perkara itu dan kelulusan bagi mendapatkan kelengkapan perabot sudah dikeluarkan.
Katanya, tender dikeluarkan untuk kemudahan kerusi dan meja dibuat bagi semua sekolah di negeri berkenaan, bukan hanya kepada sekolah dilaporkan berdepan isu itu. – 16 Mei, 2024