KUALA LUMPUR – Disebabkan tidak berpuas hati selepas anaknya didakwa mencuri gula-gula dan air di taman permainan dalam sebuah pasar raya dipercayai di Tampoi, Johor Bahru, seorang lelaki bertindak meludah dua pekerja wanita di situ.
Lebih melampau, lelaki itu melakukan tindakan sama kepada pelanggan yang berada di situ selepas individu terbabit menegur perbuatannya.
Menerusi rakaman video tular di media sosial dikongsikan pengguna akaun X, @AsyrafRosli_, air liur lelaki itu terkena kepada pekerja dan pelanggan, sebelum berlaku kekecohan.
“Customer (pelanggan) ludah staf dengan customer lain sebab staf cakap anak dia ambil gula-gula dengan air tak bayar.
“Malulah dekat anak duk (asyik) tengok, haiya,” katanya menerusi keterangan di video dikongsikan.
Lelaki itu kemudian memberi isyarat tangan dengan menunjuk-nunjuk ke arah pekerja itu sebagai tanda tidak berpuas hati, sebelum berlalu pergi membawa anaknya.
Melalui tangkap layar komen di media sosial menggunakan nama Meow dipercayai pekerja premis itu, dia mendakwa lelaki terbabit dan anaknya sememangnya pelanggan yang kerap ke situ.
“Nak dijadikan cerita dia ini regular customer, anak dia memang suka ambil barang walaupun kitaorang marah ke larang, dia tetap ambil.
“And then (kemudian), petang tadi anak dia curi gula-gula dengan air total (jumlah) RM9.00, jadi bapa dia cakap dia boleh bayar tapi dia nak refund (wang dikembalikan) RM48 anak dia masuk playground, mana boleh macam itu.
“Jadi bapa dia tak boleh terima kesalahan anak dia, bapa dia ludah staf yang tidak bersalah dan ludah pelanggan cakap dengan dia di situ,” katanya.
Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki itu sebagai sangat tidak bermoral dan tidak matang.
Malah, mereka berpendapat, sebagai bapa dia sepatutnya bertindak profesional dalam menyelesaikan situasi itu dengan baik, bukannya menunjukkan sikap buruk di depan anak.
“Regular (biasa) atau tidak, itu bukan privilege (kelebihan) dia nak buat tempat tu macam harta sendiri…” kata seorang netizen.
“Orang macam ini, mindset (pemikiran) dia ‘customer is king’ (pelanggan adalah raja), customer rasa dia sahaja betul, hakikatnya nampak kebodohan,” tulis @hasanalbshr.
“Bagus-bagus, mak bapa begini lah yang bila anak besar, nanti buli anak orang lain sampai mati pun, masih back up (pertahan) anak, amalkan lah selalu perangai mulia ini, komen seorang individu secara sarkastik.
“Budak kan tangan cepat je capai, bayar je lah kalau aku tapi balik rumah siap lah kau nak…,” kata pengguna lain.
Manakala, ada netizen menggesa pihak pengurusan pusat membeli-belah itu ‘mengharamkan’ individu bersikap tidak bermoral seperti itu daripada memasuki premis berkenaan.
“Ban dia daripada masuk sini, print (cetak) gambar dia lepas tu tulis ‘BANNED’ (diharamkan) tampal di pintu mall,” cadang netizen. – 19 Mei, 2024