KUALA LUMPUR – PAS mengutuk insiden ugutan bunuh melalui surat terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, semalam.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu turut bersolidariti dengan Teresa dalam isu keselamatan dan perlindungan diri daripada sebarang perbuatan jenayah dan bertentangan dengan undang-undang.
Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia dan Ahli Parlimen, Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman.
“PAS mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali.
“PAS juga menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan memandangkan kes keganasan dan merosakkan itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Teresa mendakwa beliau menerima ugutan bunuh dalam surat yang dihantar ke rumahnya bersama dua butir peluru hidup.
Teresa dipetik berkata, surat ugutan berserta peluru itu ditemui dalam sampul yang diletakkan di peti surat kediamannya.
Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, dilaporkan berkata, polis sedang mengesan dalang kes terbabit selepas pihaknya menerima satu laporan mengenainya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati sampul surat yang dikirim itu mengandungi sekeping nota berbentuk amaran dan dua butir peluru.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS turut menggesa semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang dan menjunjung budaya aman, menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik dan sebagainya.
Katanya, masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan. – 20 Mei, 2024