KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan mengesahkan Datuk Roslan Hussin masih memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima maklumat pelantikan Roslan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan pelantikan beliau itu. Beliau masih pengarah JPNS, masih lagi penjawat awam.
“Jadi saya minta beliau fokus kepada JPNS dan lakukan tugas seperti biasa,” katanya selepas Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (Duta) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Mydigitalmaker Fair (MDMF) di Pusat Sains Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelantikan Roslan sebagai ahli MPP baharu parti itu, selepas PKR membuat rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri.
Pelantikan Roslan diumumkan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil pada Ahad lalu bersama-sama dengan pertukaran beberapa pengerusi negeri yang diputuskan dalam mesyuarat MPP.
Bagaimanapun, pelantikan Roslan dipersoal pembangkang antaranya Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan Hamimi mempersoal mengenai kewajaran pelantikan berkenaan berikutan semakan di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati, Roslan juga individu sama yang memegang jawatan Pengarah JPNS. – 1 Jun, 2024