Bekas Datuk Bandar MBJB hadapi 12 tuduhan rasuah RM1.55 juta

Antara projek itu ialah kerja-kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan bagi tempoh 28 bulan serta kerja membina dan menyiapkan Jalan Banjaran

3:30 PM MYT

 

JOHOR BAHRU — Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.55 juta antara tahun 2020 hingga 2021.

Datuk Adib Azhari Daud, 63, didakwa menerima wang untuk diri sendiri sebagai upah membantu dua lelaki mendapat pelbagai projek di kawasan MBJB melalui seorang lagi individu lain bernilai antara RM10,000 hingga RM250,000 menerusi 12 transaksi berbeza.

Antara projek-projek itu ialah kerja-kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan bagi tempoh 28 bulan; kerja penyelenggaraan tahunan mencantas dan menebang pokok bagi tempoh 24 bulan; dan kerja penyelanggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan.

Selain itu kerja membina dan menyiapkan Jalan Banjaran; kerja mengatasi masalah tebing runtuh di Flat Sri Orkid dan Taman Bukit Tropika; dan kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrikal pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, Sungai Chat dan Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Serama 7, Larkin di sini antara 26 Jun 2020 dan 6 Ogos 2021 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Noraida Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Johor sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fariha Rahmat manakala Adib Azhari diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. – 2 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related