25 syarikat Pengelola Jemaah Haji dipantau ketat, TH mahu khidmat terbaik untuk jemaah

TH mahu memastikan setiap ringgit yang dikeluarkan oleh jemaah setimpal dengan wang yang mereka bayar kerana pakej ditawarkan biasanya bermula dari RM50,00 hingga RM200,000

9:08 AM MYT

 

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memantau operasi 25 syarikat pelancongan yang diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk memastikan kesemua syarikat berkenaan memberi khidmat terbaik kepada jemaah haji.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, pemantauan dilakukan bermula dari tanah air hingga Tanah Suci termasuk penyelarasan penerbangan dengan pesawat sewa khas, penginapan di Madinah dan Makkah sehingga penempatan di khemah-khemah di Masyair.

“Kita di bahagian operasi PJH ini perlu pastikan setiap ringgit yang dikeluarkan oleh jemaah ini benar-benar setimpal dengan wang yang mereka laburkan dan bayar kepada PJH ini.

“Ini peranan utama bahagian operasi PJH dari segi pelarasan dan pemantauan bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia dapat memberi perkhidmatan terbaik tidak kira sama ada mereka menunaikan haji menerusi TH atau PJH,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sebelum diberikan lesen PJH, kesemua 25 syarikat terlibat perlu melalui tapisan ketat selain harus memenuhi syarat ditetapkan seperti mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan berpengalaman dalam pengurusan umrah sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.

Syarat ketat itu dikenakan bagi memastikan hanya syarikat pelancongan tempatan yang berwibawa serta memiliki kapasiti teguh diberikan lesen berkenaan sekali gus untuk mengelakkan berlakunya penipuan pakej haji.

Pada tahun ini katanya, sebanyak 26% daripada 31,600 jemaah haji memilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu menerusi PJH terdiri daripada mereka yang mempunyai kewangan kukuh.

Ini memandangkan setiap pakej ditawarkan oleh PJH kebiasaannya bermula daripada harga RM50,00 hingga RM200,000 bergantung kepada kelas penerbangan, jarak antara penginapan dengan masjid serta penyediaan makanan.

Sementara itu, Anuar berkata sangkaan sesetengah pihak bahawa bakal jemaah haji menggunakan khidmat PJH ini memotong giliran adalah tidak tepat kerana kesemua jemaah itu adalah dalam senarai 31,600 jemaah yang mendapat surat tawaran daripada TH.

“Semasa surat tawaran dikeluarkan semua jemaah boleh memilih sama ada hendak pergi menerusi pakej ditawarkan, TH, atau TH Travel & Services Sdn Bhd atapun PJH,” katanya. – 10 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Leaked gas vapours easily ignited, leading to massive explosion in Putra Heights: fire expert

KUALA LUMPUR – The gas pipeline fire in Putra Heights, Subang Jaya, today is believed to have been caused by a “boiling liquid expanding vapour explosion” (BLEVE), according to a retired senior...

I’m not a man of politics, just born into a high-profile family: Mirzan Mahathir 

The 65-year-old businessman sees each accusation not as a threat, but as a challenge – an opportunity to fortify his character and forge his legacy. 

Related