Bahaya jika tak masak telur mata dengan betul, boleh dicemari bakteria Salmonella

Bakteria Salmonella boleh menyebabkan keracunan makanan serius dan boleh menyebabkan kematian

4:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Telur ayam terutamanya telur separuh masak atau telur mata sangat bahaya jika tidak dimasak dengan betul kerana risiko bakteria Salmonella yang boleh membawa maut.

Public Health Malaysia (PHM) memaklumkan, bagi penyediaan hidangan telur mata, kulit telur perlu dibasuh dibawah air mengalir untuk memastikan ia bebas daripada najis sebelum dimasak.

Malah, katanya, bakteria Salmonella boleh menyebabkan keracunan makanan serius dan boleh menyebabkan kematian.

“Untuk menyediakan hidangan telur mata, pastikan capai suhu memasak yang betul dan masa memasak mencukupi.

“Ini untuk memastikan semua bahagian makanan masak serata (tidak ada bahagian yang mentah atau separuh masak),” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Pada masa sama, PHM berkata, bagi penyediaan dalam kuantiti yang banyak dan akan dihidangkan lewat, elakkan menu telur mata separa masak.

Katanya, ini kerana bakteria dalam telur mata ada tempoh masa yang banyak untuk membiak.

Terdahulu, media melaporkan seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur mata yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gombak, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

“Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

“Pada jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

“Pada jam 10.45 malam kelmarin, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR). – 11 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Related