KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah mengaitkan isu kaum dan air di Pulau Pinang disifatkan hanya retorik politik bagi meraih undi orang Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan ketika dihubungi Scoop berkata, PAS tidak serik untuk terus ‘mempertaruhkan’ isu kaum biarpun Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tewas di PRK Kuala Kubu Baharu kerana komposisi pengundi Melayu lebih tinggi di Sungai Bakap.
“Sedikit perbezaan antara KKB dengan Sungai Bakap, di Sungai Bakap 60% adalah pengundi Melayu, jadi retorik Sanusi itu (bermodal isu air di Pulau Pinang) mungkin ada pengundi Melayu yang ‘termakan’ dengan kata-katanya.
“Ini kerana kita tahu kerajaan negeri di kawal DAP, jadi persepsinya DAP parti chauvanis Cina, walaupun dakwaan dibuat Sanusi tidak logik dan sukar dibuktikan.
“Namun dalam usaha PAS memainkan isu ini di Sungai Bakap berikutan peratus pengundi Melayu yang tinggi, mungkin bukan boleh ‘memakan diri sendiri’ tapi kemungkinan boleh membawa manfaat kepada calon PAS di Sungai Bakap,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
PRK Sungai Bakap menyaksikan seramai 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Sabtu lalu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dalam ucapan semasa Majlis Pelancaran Jentera PRK Sungai Bakap di Pejabat PAS Kawasan Nibong Tebal, menyindir Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju namun ada penduduk di Nibong Tebal dan SungaI Bakap yang masih tidak mendapat bekalan air sejak enam tahun lepas.
Beliau juga mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pilih kasih dalam agihan bekalan air dengan membiarkan masalah air berlarutan di kawasan-kawasan majoriti Melayu.
Susulan itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membidas kenyataan Sanusi itu yang disifatkan mirip hasutan dan rasis, selain turut mendakwa Menteri Besar Kedah itu sering kali bercakap tanpa fakta dan berbohong.
Sementara itu Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menempelak Sanusi dan memintanya supaya tidak mempolitikkan isu air di Pulau Pinang semata-mata mahu menjadikannya modal kempen pada PRK Sungai Bakap.

“Dia tidak ada modal nak bercakap, dia sentuhlah isu air, isu kaum di Pulau Pinang, untuk bolehkan Melayu terus sokong PAS di situ.
“Saya minta Sanusi tolong jangan buat kenyataan yang boleh ditertawakan orang, masalah air di negeri Kedah sendiri pun seperti tiada tiktik noktah,” katanya.
Beliau berkata, Sanusi perlu bertindak sebagai seorang pemimpin yang memikir masalah rakyat, tidak membuat kenyataan merapu dan tunjukkan kemampuannya bekerja.
“Kelewatan dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau di bawah agensi kerajaan negeri memberi kesan buruk kepada bekalan air untuk rakyat Kedah
“Paling teruk terjejas adalah Daerah Kuala Muda, terutama kawasan sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani. Itu belum kita cerita masalah air di Langkawi yang menjejaskan industri pelancongan.
“Nasihat saya berhenti merapu dan mula bekerja. Jangan pula akhir sekali nanti rakyat Kedah diperlakukan seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan,” katanya. – 14 Jun, 2024