Nama dalam senarai dikehendaki tidak dikemaskini, pemandu e-hailing sambilan terpaksa tidur lokap

Peguam Asiah memaklumkan adiknya sudah dibebaskan tengah hari tadi dan laporan polis mengenai penahanannya turut dibuat

5:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keluarga kepada pemandu e-hailing sambilan, Ahmad Abd Jalil mempertikai penahanan lelaki terbabit oleh dua polis peronda di Kota Damansara pada jam 9.50 malam tadi.

Bercakap kepada Scoop, kakak kepada Ahmad yang juga seorang peguam, Asiah Abd Jalil memaklumkan, adiknya itu yang juga bekas pensyarah tidak dimaklumkan mengenai sebab penahanan tersebut.

“Dia digari dan dibawa ke balai polis Damansara dalam kereta polis. Polis enggan memaklumkan sebab penangkapan itu.

“Namun polis hanya menyatakan, semakan kad pengenalan mendapati adik saya berada dalam senarai dikehendaki (wanted list),” katanya kepada Scoop, hari ini.

Menurut Asiah, semakan mendapati penangkapan itu susulan laporan polis dibuat terhadap Ahmad pada 2020 di Semenyih.

Bagaimanapun, kes tersebut sudah berstatus sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) pada 2020.

Katanya, kes itu sudah ditutup tetapi nama Ahmad dalam senarai dikehendaki masih tidak dikemaskini.

Sejurus penahanan itu, Asiah berkata, adiknya dihantar ke lokap balai polis Sea Park, Damansara Jaya di Petaling Jaya, malam tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman, pagi tadi.

“Pada jam 8.57 pagi tadi saya hubungi balai polis Sea Park untuk check (periksa) status kes adik saya. Polis beritahu adik saya akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk dapatkan perintah reman pagi tadi.

“Saya telah memaklumkan kepada pihak polis sejak malam tadi adik saya diwakili peguam tapi mereka sengaja tidak maklumkan kepada peguam ke mana adik saya akan dibawa supaya peguam dapat bersedia kerana tidak mahu reman dibantah.

“Namun saya yakin tiada kertas siasatan (IP) dan tiada diari siasatan dapat (ID) dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.

Memandangkan dia masih dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang, Asiah berkata, dia meminta bantuan seorang peguam, Fadhilah Md Fazil untuk bersedia di Mahkamah Petaling Jaya, mewakili pihaknya.

“Fadhilah tiba di sana pada jam 10 pagi dan menunggu Ahmad tiba, tetapi sehingga jam 11.20 pagi, Ahmad tidak dibawa ke mahkamah,” katanya.

Katanya, lebih mengejutkan polis tidak memaklumkan kepada peguam dan ahli keluarga lain bahawa reman di Mahkamah Petaling Jaya terhadap Ahmad tidak diteruskan pagi tadi.

“Pada jam 11.26 pagi, saya dimaklumkan salah seorang ahli keluarga saya telah memeriksa balai polis Sea Park dan menjumpai Ahmad masih berada di situ.

“Pegawai polis mengesahkan Ahmad tidak akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. Dia juga tidak akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya.

Jelasnya lagi, adiknya sudah dibebaskan pada jam 1.15 tengah hari tadi dengan jaminan polis setelah diambil keterangan oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman.

“Saya gegas ke balai polis Sea Park dan tiba pada jam 12 tengah hari. Saya dapati Ahmad sedang diambil keterangan.

“Saya memeriksa keadaan Ahmad dan sepanjang semalaman ditahan, Ahmad tidak diperiksa oleh mana-mana pegawai perubatan walaupun dia maklumkan menghidap masalah asma dan baru keluar dari hospital kerana disyaki ada masalah jantung.

“Pada masa sama, Ahmad tidak sihat dan berada dalam keletihan melampau kerana telah bekerja sepanjang hari dan belum lagi sempat makan,” katanya.

Susulan itu, Asiah membuat laporan polis di balai polis Sea Park kerana kegagalan pihak terbabit memaklumkan kepada peguam dan ahli keluarga mereka mengenai penahanan Ahmad.

Malah katanya, laporan polis itu juga dibuat kerana sistem KomPol Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu pangkalan maklumat orang dikehendaki tidak dikemaskini sehingga menyebabkan penahanan adiknya.

“Saya juga membuat laporan polis itu untuk merujuk perkara tersebut kepada mahkamah dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kerana kegagalan pihak polis untuk menyampaikan maklumat mengenai penahanan Ahmad kepada peguamnya dan menafikan haknya untuk diwakili peguam,” katanya. – 13 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related