Pengusaha bas ekspres, berilah kami diskaun atau harga khas: Pelajar IPT

Para pelajar IPT berkata permintaan mereka wajar dipertimbangkan kerana mereka antara yang paling banyak menggunakan perkhidmatan bas ekspres

10:06 AM MYT

 


KUALA LUMPUR – Penuntut-penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres meminta pengusaha bas mempertimbangkan diskaun atau harga khas kepada mereka, di sebalik kebimbangan harga tiket akan meningkat susulan penyasaran subsidi diesel.

Meskipun pengusaha bas ekspres tidak boleh menaikkan kadar tambang sesuka hati kerana ia di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) namun perkara itu tidak meredakan kebimbangan mereka.

Apatah lagi, golongan itu yang ditemui dalam tinjauan Scoop di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) berkata, mereka wajar diberikan pertimbangan kerana penuntut IPT adalah antara yang paling banyak menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk perjalanan jarak jauh termasuk pulang ke kampung.

Antara yang ditemui ialah penuntut Pengurusan Runcit dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Norhazaridah Mohamad Nor, 22, yang mahu kadar khas bagi tiket bas ekspres diberikan kepada golongan sepertinya.

Norhazaridah Mohamad Nor berkata, pelajar banyak menanggung perbelanjaan IPT dan tidak bekerja, jika tambang benar-benar naik, para pelajar patut diberi pengecualian daripada membayar tambang penuh – Halim Salleh/Scoop, 16 Jun, 2024

“Tidak semua pelajar ada duit yang banyak untuk beli tiket bas. Kami tidak bekerja dan banyak perbelanjaan di IPT yang terpaksa ditanggung.

“Kalau betul pengusaha bas ekspres mahu menaikkan harga tiket, sekurang-kurang kami diberikan pengecualian,’’ katanya yang akan pulang ke Melaka untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan pengusaha bas ekspres bahawa mereka tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan pengumuman kenaikan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa pada 10 Jun lalu.

Beliau berkata ini kerana subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara penuntut dari jurusan yang sama, Amirul Syaqirin, 23, pula yang akan pulang ke Kuantan berkata, harga tiket bas ekspres ke sana kini mencecah RM40 bagi perjalanan sehala.

Amirul Syaqirin mengharapkan bantuan daripada kerajaan buat para pelajar seperti baucar membeli tiket bas – Halim Salleh/Scoop, 16 Jun, 2024

“Saya harap kerajaan dapat beri bantuan kepada kami. Kalau baucar buku boleh diberikan, mungkin untuk tiket bas, kerajaan boleh lakukan perkara sama.

“Sekurang-kurangnya dapatlah meringankan beban kami yang masih belajar ini,’’ katanya.

Pelajar jurusan Perniagaan Pemasaran dari Universiti Multimedia Cyberjaya, Nadia Natasha Faridzal Harrymen yang menggunakan bas untuk pulang ke Seremban pula berkata, dia terpaksa mencari alternatif lain jika tambang bas meningkat melebihi kemampuannya.

Nadia Natasha Faridzal berkata dia mungkin terpaksa mencari alternatif lain jika tambang bas meningkat melebihi kemampuannya – Halim Salleh/Scoop, 16 Jun, 2024

“Saya mungkin terpaksa menaiki kereta api tapi masalahnya jadual perjalanannya tidak sekerap seperti bas.

“Kalau nak naik kereta api, saya terpaksa rancang perjalanan lebih awal,” katanya.

Seorang lagi pelajar jurusan kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Fatihah Badrul Hisyam, 23, pula berkata, dia menaiki kereta api dari Tanjung Malim ke TBS sebelum meneruskan perjalanan ke Pontian, Johor.

Nur Fatihah Badrul Hisyam menaiki kereta api dari Tanjung Malim ke TBS sebelum meneruskan perjalanan ke Pontian, Johor menggunakan bas kerana tiada stesen keretapi berhampiran dengan rumahnya – Halim Salleh/Scoop, 16 Jun, 2024

Meskipun terpaksa menggunakan dua pengangkutan, namun Fatihah tidak mempunyai pilihan.

“Buat masa ini, harga tiket bas dari TBS ke Pontian kira-kira RM30 tetapi jika saya menaiki bas dari Tanjung Malim ke Pontian, ia akan mencecah lebih RM70.

“Saya tidak boleh menaiki kereta api dari Tanjung Malim ke Pontian kerana tiada stesen berhampiran rumah,’’ katanya. – 16 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related