Dua pengarah syarikat didenda mahu jual walkie-talkie, wireless adapter tidak diperakui: MCMC

MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak terbabit aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tiada perakuan, bagi mengelakkan kesan buruk penggunaan

11:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat, masing-masing didenda RM5,500 dan RM2,500, selepas mengaku bersalah memiliki kelengkapan komunikasi tidak diperakui, dengan tujuan menjualnya.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), denda berkenaan dikenakan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Amir Shah Amir Hassan.

Barangan dimiliki individu terbabit adalah walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan Wireless Adapter pelbagai jenama.

“Hakim membuat keputusan itu selepas kedua-dua orang kena saman (OKS) mengaku bersalah bagi pertuduhan dikenakan MCMC ke atas mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, OKS pertama seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S, selain enam unit Wireless Adapter pelbagai jenama di Lintas Plaza, Kota Kinabalu pada 11 Oktober 2023.

OKS kedua pula, katanya, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa atas satu pertuduhan sama kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex, Kota Kinabalu pada tarikh serupa.

Bagi semua pertuduhan terbabit, ujarnya, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan. – Gambar MCMC, 18 Jun, 2024

“Justeru, MCMC ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.

“Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna,” katanya.

Jelasnya, sebagai contoh, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain.

“Selain itu, kelengkapan komunikasi tidak diperakui mungkin tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan kualiti perkhidmatan yang rendah serta ketidakpuasan pengguna.

“Orang ramai dinasihat menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi, sebelum membeli dan menggunakannya,” katanya. – 18 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Related