MMA gesa Ahli Parlimen bangkit isu TPA di Dewan Rakyat

MMA mencadangkan supaya pembahagian fi di dalam kontrak ditangani dan badan berkuasa untuk mengawal selia TPA ditubuhkan

1:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Ahli Parlimen untuk membangkitkan isu perkhidmatan pentadbir pihak ketiga (TPA) yang tidak dikawal selia dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, salah satu isu TPA adalah amalan pembahagian fi, di mana pihak terbabit mengambil peratusan daripada jumlah bil dikenakan kepada pesakit, yang membawa kepada peningkatan kos ditanggung oleh pengamal perubatan (GP) swasta dan pakar terlibat.

Menurutnya, tindakan sesetengah TPA menolak 10 hingga 15 peratus daripada jumlah bil boleh menjejaskan kelestarian klinik swasta dan kualiti penjagaan pesakit, kerana GP terlibat mungkin terpaksa mengurangkan kos atau melaksanakan pelarasan di dalam caj untuk menampung kerugian.

Dr Azizan Abdul Aziz berkata, tindakan sesetengah TPA menolak 10 hingga 15 peratus daripada jumlah bil boleh menjejaskan kelestarian klinik swasta dan kualiti penjagaan pesakit – Gambar laman web Dr Azizan, 19 Jun, 2024

“Kami ingin mengingatkan semua pengamal perubatan swasta bahawa di bawah garis panduan yang ditetapkan oleh MMA, pembahagian fi merupakan satu amalan yang tidak beretika.

“Jika amalan tidak beretika ini dibiarkan dalam sistem penjagaan kesihatan, ia akan menjurus kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan, terutamanya perkhidmatan penjagaan primer swasta.

“Oleh kerana isu ini memberi kesan kepada penyampaian penjagaan kesihatan kepada rakyat, kami menggesa Ahli Parlimen untuk membangkitkan perkara tersebut pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Azizan berkata, MMA sudah berbincang dengan KKM mengenai perkara tersebut sejak 2015, namun masih tiada tindakan kawal selia diambil untuk menangani isu ini.

“Ketiadaan peraturan dan pengawasan terhadap TPA telah menjadikan masalah ini berlarutan walaupun telah dibangkitkan di dalam Laporan Majlis Produktiviti Malaysia 2016.

“Malah, pihak Bank Negara Malaysia (BNM), yang mengawal selia penyedia insurans, tetap pasif mengenai kawal selia TPA, walaupun mereka mengendalikan tuntutan untuk penyedia insurans,” katanya.

Jelasnya lagi, TPA juga mengenakan bayaran pendaftaran tinggi kepada klinik GP swasta iaitu sehingga RM5,000 hanya untuk disenaraikan sebagai klinik panel, selain tidak telus dalam operasi mereka dan menunda pembayaran serta menolak tuntutan.

Sebagai penyelesaian kepada isu tersebut, Azizan berkata, MMA mencadangkan supaya pembahagian fi di dalam kontrak ditangani dan badan berkuasa untuk mengawal selia TPA ditubuhkan serta menguatkuasakan amalan beretika untuk melindungi pesakit dan GP swasta.

Selain itu, katanya, menyeragamkan proses dan mewujudkan sistem pendaftaran klinik yang bersatu untuk memastikan amalan beretika, tanggungjawab dan standard penjagaan yang tinggi serta keadilan dalam sistem kewangan.

“Oleh kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mendakwa mereka tidak mempunyai kuasa dalam mengawal selia TPA, justeru, kami menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam pembahagian fi ini.

“Dengan berbuat demikian, TPA akan ditekan untuk mematuhi standard etika,” katanya. – 19 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Mount Ruang eruption: MAS, AirAsia, Batik Air cancel flights between KL and Sabah, S’wak

Multiple flights between KL and both Sabah as well as Sarawak have been cancelled following the eruption of Mount Ruang in Indonesia.

Related