Pemerhati antarabangsa, Barat sentiasa skeptis hubungan Malaysia-China: Anwar

Pengkritik kerap mempersoalkan sama ada perkongsian strategik yang komprehensif antara kedua-dua negara ini akan memudaratkan Malaysia

2:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan China sentiasa ditingkatkan biarpun pemerhati antarabangsa khususnya dari negara Barat sering membangkitkan skeptisisme terhadap perkara tersebut.

Merujuk kepada interaksi dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, Anwar menegaskan sikap kepimpinan China yang dianggapnya amat mesra dan saling menghormati, di samping menekankan kepada pemahaman mendalam mengenai perbezaan budaya antara negara.

Dalam ucapannya di majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China hari ini, beliau berkata, pengkritik kerap mempersoalkan sama ada perkongsian strategik yang komprehensif antara kedua-dua negara ini akan memudaratkan Malaysia, sebuah negara yang lebih kecil.

“Saya telah beri jaminan berdasarkan sejarah terdahulu dari zaman Maharaja di China dan Sultan Melaka. Lawatan Perdana Menteri, Li Qiang, sahabat saya yang dihormati ini, telah membuktikan (kemesraan). Kami berbincang selama berjam-jam, tanpa sebarang keangkuhan atau ultimatum.

“Walaupun terdapat isu yang dipertikaikan, kita lihat mereka sebagai rakan kongsi dan sahabat yang dipercayai… terlibat dalam perbincangan selama beberapa jam sebagai rakan kongsi setara dan boleh dipercayai,” katanya di sini.

Anwar berkata, rakyat kedua-dua negara mendapat manfaat menerusi kerjasama tersebut, selain mempelajari dan memahami perbezaan budaya serta agama masing-masing. – Gambar Jabatan Perdana Menteri, 20 Jun, 2024

Dalam merujuk kepada skop kerjasama Malaysia-China yang lebih luas, Anwar menyentuh kepada perkara-perkara yang menjadi perhatian bersama seperti masa depan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan digital.

Beliau turut mengetengahkan manfaat bersama mempelajari antara satu sama lain dan bekerjasama bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di kedua-dua negara, serta kepentingan untuk memahami dan menghargai perbezaan budaya dan agama.

Perdana Menteri kemudiannya merujuk kepada penganjuran persidangan antarabangsa besar mengenai Islam dan Konfusianisme pada tahun 1995, yang memupuk prinsip etika di samping mengetengahkan amalan ekonomi berperikemanusiaan, dan beliau melahirkan rasa gembira kerana Qiang turut menyokong idea untuk meningkatkan pemahaman dan dialog antara Islam dan Konfusianisme.

“Saya memilih untuk menyentuh perkara ini kerana ia sendiri merupakan satu teguran dan sanggahan terhadap propaganda berlebihan kononnya kita harus meragui dan merasa bimbang akan dominasi China dari segi ekonomi, ketenteraan, teknologi.

“…kita di Malaysia berpendirian neutral, dan mempunyai keazaman untuk bekerjasama dengan semua negara dan dengan China, kita melihat Perdana Menteri Li Qiang sebagai rakan yang akan bekerjasama dengan kita, bekolaborasi, serta membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan, persahabatan ini amat bermakna,” katanya.

Li Qiang tiba di Malaysia pada Selasa lalu untuk lawatan rasmi tiga hari, dan ia merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Perdana Menteri China pada Mac 2023. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 20 Jun, 2024

Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri oleh Qiang; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, anggota delegasi dan juga anggota komuniti perniagaan.

Qiang tiba di Malaysia pada Selasa lalu untuk lawatan rasmi tiga hari, dan ia merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Mac 2023.

Lawatan itu juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China, susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun sejak 2009, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion) pada 2023. – 20 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Mat Sabu says rice supply can last four to five months

There is sufficient rice supply to cover the country’s domestic needs for the next four to five months, said Agriculture and Food Security Minister Datuk Seri Mohamad Sabu.

Related