4 nelayan hilang, seorang selamat bot dinaiki terbalik di Tanjung Segenting

Menurut maklumat awal kejadian, bot nelayan dinaiki lima kru itu keluar ke laut untuk memukat ikan, namun cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam

12:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Empat nelayan masih hilang manakala seorang ditemukan selamat selepas bot dinaiki mereka terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di Batu Pahat, Johor, pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, bot dinaiki lima nelayan tempatan berusia 43 hingga 63 tahun itu dilaporkan terbalik sebelum tenggelam akibat dipukul ombak besar.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan bahawa terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di perairan berkenaan.

“Sejurus menerima maklumat, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Op Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) pada jam 9 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dinaiki oleh lima kru yang keluar ke laut untuk memukat ikan. Keadaan cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haniff berkata, sebaik tiba di lokasi, bot nelayan tersebut kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

“Seorang mangsa, Tan Siak Bin, 43, ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran dan diserahkan kepada Bot Penggalang 30 untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambahnya, operasi pencarian diperluaskan dengan penambahan radius kawasan pencarian kepada 23 batu nautika persegi bagi mengesan empat lagi nelayan yang masih hilang.

Selain Maritim Malaysia, operasi itu juga dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia(JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999. – 22 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related