KSU Kesuma, Ketua Eksekutif HRD Corp diarah lapor SPRM penemuan dalam LKAN, PAC: Steven Sim

Ketua Setiausaha Kesuma dan Ketua Eksekutif HRD Corp diarah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung penemuan dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara membabitkan syarikat terbabit

10:22 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akur dengan syor dikemukakan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) agar merujuk pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, selepas syarikat kerajaan itu gagal dalam audit.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, sejajar syor itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membabitkan syarikat terbabit.

Menurutnya, Kesuma tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan dalam LKAN.

“Kesuma mengambil serius LKAN dan PAC yang dibentangkan di Parlimen semalam. Proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023.

“Saya telah dimaklumkan mengenai proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan Kesuma dan HRD Corp untuk memberikan kerjasama penuh kepada LKAN dan PAC,” katanya.

Semalam, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Susulan itu, LKAN mengesyorkan Kesuma mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk ia kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

LKAN juga menggesa HRD Corp supaya mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat agar selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001.

Mengulas lanjut, Steven berkata, Kesuma juga tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Katanya, matlamat beliau adalah untuk memastikan Kesuma mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

“Dalam tempoh enam bulan ini, Kesuma sudah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses cekap di seluruh kementerian dan agensinya.

“Rekayasa Kesuma di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan LKAN dan PAC tidak akan berulang,” katanya. – 5 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

What unfulfilled Bumiputera rights are you talking about, Kepong MP asks Muhyiddin

Lim Lip Eng slams Muhyiddin’s proposal for a Malay-Bumiputera 'umbrella body,' calling it unnecessary and vague

Related