Ambil iktibar kekalahan, Ku Li tapis pemimpin berkempen di Nenggiri: Umno Kelantan

Langkah itu diambil sebagai iktibar dari PRK Sungai Bakap apabila ada kepimpinan mewakili kerajaan gagal menerangkan isu dengan jelas di pentas ceramah kempen

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno Kelantan akan membuat tapisan pemimpin sama ada peringkat negeri dan Pusat yang akan dibenarkan berceramah pada pentas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Parti itu menetapkan apa sahaja program atau penerangan daripada pihak dalaman mahupun luar sepanjang kempen PRK itu akan melalui tapisan Pengarah PRK DUN Nenggiri yang juga Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, langkah itu diambil sebagai iktibar dari PRK Sungai Bakap apabila ada kepimpinan mewakili kerajaan gagal menyampaikan dasar dan menerangkan isu dengan jelas di pentas ceramah kempen.

Sebaliknya, beliau berkata, pemimpin terbabit menggunakan kata-kata kesat ketika berceramah sehingga membangkitkan kemarahan pengundi.

“Sekarang kita ada Lembaga Penapisan, iaitu mesti melalui tapisan Tengku Razaleigh (Ku Li), kalau Ku Li kata tak boleh orang ini datang, jadi Ku Li tahu kerana itu tempat dia. Jadi orang tertentu tak payah datang, sama juga peranan dengan Ahmad Jazlan.

Datuk Zawawi Othman berkata, gerak kerja jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) di Gua Musang akan ditumpukan untuk mengeluarkan pengundi putih Umno supaya melaksanakan tanggungjawab mereka – Gambar Umno Online, 9 Julai, 2024

“Kita akan bawa orang yang boleh berkomunikasi dengan baik, menyampaikan soal dasar kerajaan dan isu setempat dengan jelas.

“Kalau pemimpin yang datang berkempen sekadar untuk membawa rebah, itu tak payah dan tak sepatutnya dilakukan,” katanya.

Gabungan isu nasional dan setempat yang tidak dapat ditepis oleh Kerajaan Perpaduan dalam kempen di Sungai Bakap menjadi faktor besar kegagalan calon gabungan itu merampas kerusi berkenaan.

Manipulasi Perikatan Nasional (PN) dalam isu seperti penyasaran subsidi diesel dan petrol, bekalan air serta BlackRock mempengaruhi pola pengundian pada PRK itu, khususnya pengundi Melayu.

Lebih parah, kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada hari terakhir kempen turut mengundang kemarahan pengundi apabila menggelar pengkritik sebagai ‘bahlol’ dan ‘bodoh’ kerana mempersoalkan ‘formula’ Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan isu ekonomi.

“Dia duk tanya, kamu raja formula, mana formula kamu? Memang bahlol. Formula tengah jalanlah bodoh,” kata Timbalan Presiden PKR itu pada ceramah di PRK Sungai Bakap pada 5 Julai lalu.

Susulan kemenangan PN di Sungai Bakap, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, menyindir Rafizi dengan mengucapkan tahniah kepada pengundi Sungai Bakap selain mengingatkan pemimpin agar tidak sombong.

“Formula bahlol dan bodoh dari raja formula telah mendatangkan hasil di Sungai Bakap. Tahniah rakyat Sungai Bakap. Pemimpin jangan sombong dengan rakyat,” katanya secara sinis di Facebook.

Dalam pada itu, Zawawi berkata, gerak kerja jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) di Gua Musang akan ditumpukan untuk mengeluarkan pengundi putih Umno supaya melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kita kena bagi isyarat bahawa ekonomi harus dipulihkan seperti ketika zaman BN mentadbir negara.

“Umno sendiri pun tidak setuju secara amnya dengan kenaikan diesel secara mendadak, namun kita mempunyai tugas untuk menjelaskan dasar kerajaan ini terutama kepada pengundi muda,” katanya

Beliau berkata, pengundi di Nenggiri juga perlu diyakinkan bahawa PAS yang mentadbir kerajaan negeri juga tidak membuat apa yang dijanjikan mereka ketika pemimpin mereka berada dalam kerajaan Persekutuan.

“Dalam manifesto mereka, kalau PAS menang hutang PTPTN akan dihapuskan, mereka tadbir negara lebih dua tahun tapi tak buat juga.

“Begitu juga dalam isu hudud, tak dibawa ke Parlimen pun. Ini rakyat dan pengundi kena faham bahawa politik PN hari ini adalah politik fitnah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang. – 9 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related