Isu HRD Corp: SPRM akan panggil saksi dalam masa terdekat

SPRM telah hadir di Kesuma dan HRD Corp tengah hari ini bagi mendapatkan dokumen-dokumen untuk siasatan

5:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil saksi-saksi dalam masa terdekat berkait isu membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tindakan itu akan dilakukan selepas beberapa dokumen yang didapatkan di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Putrajaya dan pejabat HRD Corp dekat Bukit Damansara, disemak.

“SPRM telah hadir di Kesuma dan HRD Corp untuk mendapatkan dokumen-dokumen untuk siasatan pada tengah hari, hari ini. Fokus siasatan adalah tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.

“Setakat ini belum ada saksi yang dirakam percakapan tetapi SPRM tidak menafikan akan memanggil saksi-saksi dalam masa terdekat selepas semakan dokumen dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM telah mengenal pasti beberapa perkara yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terlibat berkait isu membabitkan HRD Corp.

Menurut beliau, antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya.

Untuk itu katanya, satu pasukan khas dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

Ia susulan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan isu HRD Corp.

Sebelum ini Scoop melaporkan, Kesuma akur dengan syor dikemukakan LKAN agar merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, selepas syarikat kerajaan itu gagal dalam audit.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, saksi-saksi berkait isu membabitkan HRD Corp akan dipanggil dalam masa terdekat selepas beberapa dokumen didapatkan di pejabat Kesuma. – Gambar Bernama, 9 Julai, 2024

Menterinya, Steven Sim berkata, sejajar syor itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan kepada SPRM berhubung penemuan dalam LKAN dan PAC membabitkan syarikat terbabit.

PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Susulan itu, LKAN mengesyorkan Kesuma mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk ia kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

LKAN juga menggesa HRD Corp supaya mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat agar selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001. – 9 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

Ringgit eases against dollar as Fed official’s comments dampen rate cut hopes

Local note at 4.6910/6950 versus greenback at 9am

New beginnings: Sabah debuts its own MM2H programme

Move aims to attract retirees, expatriates, long-term residents amid disagreements with federal Tourism Ministry

Related