Dewan Rakyat lulus usul LKAN, 3 rang undang-undang pada minggu ketiga

Kerajaan memandang serius isu dibangkitkan dalam LKAN, seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan dan pencegahan bagi mengelakkan kelemahan sama dibangkitkan semula pada masa hadapan

10:44 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat pada minggu ketiga menyaksikan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 diluluskan selepas dibahaskan 52 Ahli Parlimen dan digulung oleh 14 kementerian. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan usul itu berkata kerajaan memandang serius isu dibangkitkan dalam LKAN, seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan dan pencegahan bagi mengelakkan kelemahan sama dibangkitkan semula pada masa hadapan. 

Turut diluluskan ialah Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024. 

Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang sepatutnya diputuskan setelah melalui proses perbahasan sejak minggu lepas, ditangguhkan dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan untuk pandangan lanjut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat cadangan penangguhan itu setelah meneliti pandangan Ahli Parlimen, serta bagi memastikan rang undang-undang berkenaan menjadi akta terbaik apabila diluluskan.

Antara rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama ialah Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 serta Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 turut dibentang kali pertama.

Selain itu, sidang Dewan Rakyat semalam turut kecoh apabila Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bercanggah pendapat berhubung keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang juga bekas ahli Bersatu.

Ketika memberikan penjelasan terhadap perkara berkenaan, Johari menegaskan telah mengkaji semua perkara dan beliau kekal dengan keputusan itu yang dimaklumkan melalui surat kepada Ketua Whip Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 9 Julai lepas.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini. – 12 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Leaked gas vapours easily ignited, leading to massive explosion in Putra Heights: fire expert

KUALA LUMPUR – The gas pipeline fire in Putra Heights, Subang Jaya, today is believed to have been caused by a “boiling liquid expanding vapour explosion” (BLEVE), according to a retired senior...

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related