PM jumpa keluarga mendiang Beng Hock minggu depan

Pertemuan itu akan diadakan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong

1:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang juga bekas Setiausaha Politik Exco Selangor, minggu depan.

Beliau memaklumkan perkembangan terbaru itu selepas mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial kelmarin, mengenai hasratnya untuk berjumpa keluarga mendiang Beng Hock.

“Saya akan berjumpa keluarga Teoh Beng Hock minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong minggu depan,” katanya selepas merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan keluarga mendiang Beng Hock, yang meninggal dunia dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.

Pada Isnin lalu, adik kepada mendiang Beng Hock iaitu Teoh Lee Lan disekat daripada memasuki bangunan Parlimen, kira-kira 100 meter dari pintu masuk ke situ.

Lee Lan, bersama kira-kira 30 individu dari Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) mahu menyerahkan memorandum bagi menuntut keadilan di atas kematian mendiang.

Berlaku tolak-menolak dan kekecohan ketika mereka dihalang semasa mahu bangunan Parlimen.

Beng Hock ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14, bangunan yang sama.

Ketika kematiannya, Beng Hock adalah setiausaha politik kepada Exco Selangor pada masa tersebut, Ean Yong.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.

Namun pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan kematian Beng Hock didorong untuk membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seseorang atau beberapa individu yang tidak dikenali. – 17 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related