Hala tuju kerjasama Malaysia-Iran tidak akan dipengaruhi campur tangan dan pengaruh asing: Anwar

Kedua-dua pemimpin turut menyatakan kesediaan untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi yang masih belum diteroka sepenuhnya

11:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hala tuju kerjasama Malaysia-Iran tidak akan dipengaruhi campur tangan atau pengaruh pihak asing sebaliknya berpandu sepenuhnya kepada manfaat dan kemakmuran rakyat antara kedua-dua negara.

Anwar berkata demikian dalam perbuatan telefon bersama Dr Masoud Pezeshkian bagi menyampaikan tahniah kepada beliau yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran yang baharu pada 30 Julai ini.

Beliau turut menyatakan harapan melihat negara tersebut terus berkembang hebat di bawah pimpinan Pezeshkian.

“Perbualan kami menyentuh mengenai komitmen berterusan kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan Malaysia-Iran, selain sedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi yang masih belum diteroka sepenuhnya.

“Saya turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian almarhum Ebrahim Raisi, bekas Presiden Iran yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Pezeshkian, 69, yang juga bekas Menteri Kesihatan telah dipilih sebagai Presiden baharu Iran setelah menewaskan lawannya Saeed Jalili, iaitu bekas ketua perunding nuklear yang juga ketua badan keselamatan pada pilihan raya Iran, 5 Julai lalu.

Pilihan raya mengejut itu diadakan selepas kematian presiden, Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada Mei lalu. 

Anwar turut menyatakan penghargaan atas pendirian teguh Iran dalam perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin serta menentang kezaliman dan genosid yang dilakukan rejim Zionis Israel.

“Di akhir perbualan, saya menyampaikan jemputan buat Dr Masoud untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin, dan Dr Masoud turut menjemput saya ke Iran untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Iran,” katanya. – 17 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related