Protes reformasi kuota di Dhaka: Berpuluh-puluh terbunuh, Wisma Putra ambil langkah keselamatan

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mengkaji penyelesaian sesuai termasuk membantu mengaturkan perjalanan pulang pelajar-pelajar yang ingin kembali ke Malaysia

9:07 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Protes reformasi kuota di Dhaka dan beberapa lokasi lain di Bangladesh menyebabkan lebih 20 terkorban, semalam, kebanyakannya pelajar termasuk mereka yang bawah umur.

Ini apabila polis bertindak melepaskan tembakan ke arah pelajar yang menyertai protes berkenaan.

Seramai 12 kematian baharu dicatatkan di Dhaka, dua di Daerah Narsingdi, dua di bandar pelabuhan Chattogram dan satu di Daerah Madaripur, menurut akhbar tempatan Prothom Alo.

Seorang lagi mangsa terbunuh selepas terperangkap dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis awal pagi di kawasan Jatrabari, Dhaka. Dua lagi terbunuh di Dhaka, termasuk seorang wartawan.

Jumlah kematian telah meningkat kepada 26 sejak Selasa.

Beribu-ribu pelajar berdemonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan, yang telah dimansuhkan pada 2018.

Penunjuk perasaan menuntut perubahan kepada sistem itu, yang memperuntukkan 56 peratus daripada pekerjaan awam untuk kumpulan tertentu, lapor agensi berita Anadolu.

Terdahulu Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang giat memantau keadaan di Bangladesh berikutan tunjuk perasaan pelajar-pelajar di sana.

Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang giat memantau keadaan di Bangladesh berikutan tunjuk perasaan pelajar-pelajar di sana – Gambar Facebook High Commission of Malaysia Dhaka, 19 Julai, 2024

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, Suruhanjaya Tinggi di sana sedang giat menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua warga Malaysia di negara itu, walaupun menghadapi gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang meluas. 

“Susulan permulaan protes, pelajar-pelajar Malaysia di Dhaka diarahkan supaya berkumpul di Suruhanjaya Tinggi bagi tujuan keselamatan mereka dan untuk arahan selanjutnya.  Pelajar-pelajar ini adalah dari institusi pendidikan tempatan di Dhaka yang terjejas oleh protes berkenaan, kata kementerian itu seperti dilaporkan Bernama.

Menurut kementerian, pegawai Suruhanjaya Tinggi telah berinteraksi awal dengan pelajar-pelajar ini untuk menilai keperluan mereka dan memberikan bantuan segera.

Buat masa ini, Suruhanjaya Tinggi sedang mengkaji penyelesaian sesuai termasuk membantu mengaturkan perjalanan pulang pelajar-pelajar yang ingin kembali ke Malaysia dan mendapatkan tempat perlindungan sementara untuk mereka. 

Kementerian Luar menggesa semua rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh untuk mengelak dari berada di dalam kawasan protes, kekal berwaspada dan mematuhi semua nasihat keselamatan dan arahan pihak berkuasa tempatan.

Ia juga komited untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin dan sebarang perkembangan terkini berkenaan situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, katanya. 

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka di alamat Rumah No 19, Jalan No 6, Enklaf Diplomatik Baridhara, Dhaka – 1212, Bangladesh.

Suruhanjaya Tinggi itu boleh juga dihubungi menerusi talian +880241081892 / 1895 atau +88 018 4179 8077 (kecemasan sahaja) dan e-mel di mwdhaka@kln.gov.my. – 19 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related