DAWN gesa AGC ambil tindakan segera kes pemandu e-hailing dipukul pengiring VVIP

Pengasas bersama DAWN berkata, langkah segera perlu diambil agar komuniti OKU sentiasa berasa selamat dan tidak dipinggirkan

1:30 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (DAWN) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak segera mengheret pengiring VVIP yang didakwa menyerang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU), Ong Ing Keong, 46, ke muka pengadilan.

Pengasas bersama DAWN, Anthony Chong berkata, perkara itu harus disegerakan memandangkan sudah dua bulan kes itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang perkembangan baharu.

“Kami menggesa Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan segera dan tegas dengan mendakwa pelaku serangan ini. Sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil berhubung kes serangan ini.

“Apakah suara golongan OKU pekak ini tidak didengari? Walaupun kami pekak tetapi kami tidak akan berdiam diri (sehingga pelaku ini dibawa ke muka pengadilan),” katanya kepada ditemui pada majlis penyerahan memo menuntut AGC segera mendakwa pelaku serangan tersebut di lobi Jabatan Peguam Negara, di sini hari ini.

Menurut Anthony, langkah segera perlu diambil agar komuniti OKU sentiasa berasa selamat dan tidak dipinggirkan.

“Walaupun Malaysia dikatakan sebagai negara harmoni namun kami golongan OKU masih lagi tidak mendapat keadilan sama rata dan sering dipinggirkan. Diharapkan dengan serahan memo ini, tindakan segera dapat diambil untuk menyegerakan dakwaan terhadap pelaku,” katanya.

Serahan memo itu turut disertai Ing Keong serta 10 individu OKU pekak dan bisu yang hadir memberikan sokongan terhadap pemandu e-hailing tersebut.

Terdahulu, Scoop melaporkan pihak polis mengesahkan menerima laporan awal daripada pemandu pekak dan bisu itu pada 28 Mei lalu.

Ing Keong menafikan sudah menarik laporan polis berhubung kes dia dipukul pengawal pengiring VVIP berkenaan, sebaliknya mendakwa diberi pilihan oleh pegawai polis yang menguruskan kes itu.

Pilihan berkenaan sama ada menerima sejumlah wang daripada wakil VVIP yang berada di balai, atau berdepan tindakan telefonnya dirampas jika kes itu dipanjangkan ke mahkamah.

Kertas siasatan berhubung kes tersebut dilaporkan sudah diserahkan kepada AGC pada 4 Jun lalu.  

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini media melaporkan seorang pengawal pengiring kepada orang kenamaan (VVIP), disiasat polis kerana disyaki memukul seorang lelaki kurang upaya bisu dan pekak di sebuah hotel dekat KL Sentral pada 28 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan. – 19 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related