Operasi haji memuaskan, Arab Saudi anggap pengurusan TH terbaik: Mohd Na’im

Perkara berkenaan dizahirkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi kepada Mohd Na’im baru-baru ini

9:55 AM MYT

 

SEPANG – Operasi haji tahun ini dilaksanakan sangat memuaskan dan kerajaan Arab Saudi menganggap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) adalah terbaik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata perkara berkenaan dizahirkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi kepadanya baru-baru ini.

“Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi maklum kepada saya bagaimana pengurusan TH memang pada beliau dianggap yang terbaik.

“Kita juga sedia maklum atas dasar pengurusan pentadbiran terbaik itu kerajaan Arab Saudi telah menganugerahkan Labaittom kepada TH secara konsisten tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia sebanyak 270 orang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini lewat malam tadi. 

Beliau berkata jemaah haji Malaysia juga menerima pujian kerana berdisiplin, mempunyai ilmu pengetahuan dan budi pekerti sewaktu melaksanakan rukun Islam kelima itu.

“Yang ini (sebab) peranan TH mainkan sebelum mereka (jemaah) bertolak, mereka hadir kursus asas dan haji perdana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im merakamkan tahniah kepada 31,600 jemaah haji negara pada tahun ini kerana telah berjaya mengharungi cabaran pelaksanaan kemuncak ibadat haji sekali gus menyempurnakan rukun Islam

“Tahun ini (juga) hampir semua jemaah haji maklumkan makanan dan pengangkutan baik. Sudah tentu ada (beberapa) kekurangan dan TH ambil pendekatan buat post mortem dan bincang untuk tambah baik,” katanya.

Sejumlah 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula 24 Jun lepas sehingga penerbangan akhir semalam (20 Julai).

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman. – 21 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

MetMalaysia alert: thunderstorms to lash multiple states

Meteorological Dept warns that thunderstorms and heavy rain are expected in nearly all states until at least 6pm today

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

New beginnings: Sabah debuts its own MM2H programme

Move aims to attract retirees, expatriates, long-term residents amid disagreements with federal Tourism Ministry

Related