KUALA LUMPUR – Seorang pemilik premis barang lusuh berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat berdekatan sekolah di Seksyen 33, Shah Alam, semalam yang mengakibatkannya kerugian wang tunai RM200,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, menerusi laporan dibuat mangsa berumur 54 tahun pada jam 2.41 petang itu, wang itu baharu dikeluarkannya dari sebuah bank untuk urusan perniagaan.
Menurutnya, ketika mangsa memberhentikan kereta di kawasan itu pada kira-kira 1.27 petang, sebuah motosikal dinaiki dua suspek lelaki yang memakai topi keledar tiba di sebelah kiri keretanya.
“Ia diikuti sebuah kereta jenis Perodua Alza yang bertindak menghalang laluan dengan memintas di hadapan kereta mangsa.
“Suspek yang memboceng motosikal pergi ke arah pemandu kereta, memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan sebilah kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri.
“Seorang lagi rakan suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Alza, membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa, lalu membawa lari satu bungkusan beg mengandungi wang tunai (RM200,000),” katanya menerusi kenyataan.
Iqbal berkata, mangsa yang juga pengarah syarikat miliknya itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semakan nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Alza dinaiki suspek adalah palsu kerana didaftarkan atas sebuah kereta jenis Toyota Vios.
“Polis giat mengesan dan menangkap semua suspek terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membawa wang tunai dalam jumlah besar kerana boleh meyebabkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kes terbabit dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit, memaparkan pemandu kereta jenis Perodua Kembara disamun sekumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat. – 23 Julai, 2024