KUALA LUMPUR – Keterujaan seorang bapa, Zulkurnain Abdullah menghitung hari perkahwinan anak kesayangannya, Nurshabirah Izzani, 22, Disember ini bertukar detik paling menyedihkan dalam hidup apabila gadis itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya malam tadi.
Nurshabirah Izzani bersama bakal suaminya, Muhammad Haniff Idham Mohd. Azmi, 24 adalah dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kemajuan di Kuala Terengganu pada kira-kira jam 10.30 malam.
Lebih memilukan, Zulkurnain berkata, keluarga merancang mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan Nurshabirah Izzani serentak bersama dua lagi adik-beradiknya, malah beberapa kelengkapan sudah disediakan.
“Arwah anak keempat daripada tujuh beradik dan mereka tiga beradik, iaitu anak kedua, Zul Adri Amin, 26 dan anak ketiga, Nur Hadirah, 25, bersetuju mengadakan majlis itu secara bersama.
“Masing-masing juga sudah membeli dan membuat sedikit persiapan untuk majlis itu,” katanya kepada media.
Menceritakan saat dia mengetahui berita itu, Zulkurnain berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak kelima yang juga atlet Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Zulfahmi Aiman, 19, pada jam 1 pagi.
Zulfahmi Aiman, katanya, tinggal bersama kakaknya, Nur Hadirah yang juga kakitangan TSG di rumah sewa di Gong Badak, Kuala Nerus.
Jelasnya, Zulfahmi Aiman menghubungi dua kali tetapi ketika itu dia sudah tidur sebelum Zul Adri Amin yang tinggal bersama keluarga di Kampung Belukar Sukai, Kepong memberitahu mengenai kemalangan terbabit.
“Saya kemudian mengejutkan isteri, Hazlinda Razak, 48, memberitahu Izzani dan Haniff kemalangan tanpa memaklumkan keadaan sebenar kedua-duanya sebelum ke rumah mayat.
“Sebaik tiba di pekarangan rumah mayat, baharu saya maklum kepada isteri yang Izzani dan Haniff sudah tiada,” katanya.
Zulkurnain berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar Sukai berdekatan rumahnya selepas solat Zohor.
Sementara itu, media melaporkan, keluarga Muhammad Haniff Idham enggan di temu bual kerana masih bersedih dan terkejut dengan kejadian.
Namun, media difahamkan arwah adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan anak tunggal lelaki dalam keluarga.
“Maaf, kami masih bersedih. Saya faham tugas wartawan dan harap faham dengan keadaan kami,” kata bapa Allahyarham Muhammad Haniff Idham, Azmi Muhamad, 62,
Difahamkan, jenazah Muhammad Haniff Idham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terenggan, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku selepas kereta Perodua Myvi dipandu Muhammad Haniff Idham dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik pasukan penyelamat dari belakang.
Rempuhan itu, katanya, menyebabkan kereta dinaiki Muhammad Haniff Idham yang bekerja sebagai peniaga bersama bakal tunangnya itu terbabas, lalu melanggar pokok hiasan di tengah pembahagi jalan sebelum masuk ke arah bertentangan.
“Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dari arah Gong Badak yang menghala ke Kuala Terengganu, tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta mangsa.
“Selepas itu, datang sebuah kereta melanggar belakang kenderaan SUV berkenaan. Bagaimanapun pemandu kenderaan SUV hanya cedera ringan,” katanya.
Beliau berkata, pasangan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum disahkan meninggal dunia. – 28 Julai, 2024