AGC tolak representasi warga Israel kaji tuduhan miliki senjata, peluru

Mahkamah hari ini turut menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan semula kes

1:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan warga Israel, Avitan Shalom bagi mengkaji semula dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin berkata representasi itu telah diserahkan kepada AGC pada 8 Julai lepas.

Mohamad Mustaffa turut memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk pengurusan kes kerana terdapat dua lagi dokumen belum diserahkan kepada pembelaan iaitu laporan kamera litar tertutup (CCTV) dan analisis laporan forensik.

“Susulan itu, saya mencadangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan dalam prosiding lalu, dikekalkan,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 30 Sept, 1 hingga 3 Okt dan 7 hingga 11 Okt ini untuk perbicaraan.

Mahkamah hari ini turut menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh yang sebelum ini mewakili Avitan, 38, berkata beliau tidak lagi mewakili lelaki warga Israel itu atas sebab peribadi. 

“Saya tidak lagi hadir bagi pihaknya, tetapi dia (tertuduh) akan diwakili seorang lagi peguam, Jeffrey Ooi,” katanya.

Ooi yang hadir di mahkamah hari ini mengesahkan perkara berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304). 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara  6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas. – 30 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Related