KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditemukan maut di bawah runtuhan selepas rumah didiaminya dirempuh treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.46 pagi.
Menurutnya, treler membawa muatan pelbagai barangan terbabas dan melanggar rumah didiami mangsa dan empat yang lain.
“Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dan Peramu tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Sebaik tiba, pihak bomba dimaklumkan seorang mangsa perempuan tertimbus di bawah runtuhan sebelum operasi pencarian digerakkan.
“Hasil pencarian dijalankan, mangsa berjaya ditemui di bawah treler di bahagian hadapan dan dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, dua penghuni lain selamat manakala dua lagi mengalami kecederaan.
“Pemandu treler dan kelindan turut cedera. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan,” katanya. – 3 Ogos, 2024