Ahli Bersatu sertai Umno: ‘Itu taktik lama BN setiap kali pilihan raya’ kata Tuan Ibrahim

Dakwaan ramai lagi akan berpaling tadah dan sertai Umno tidak tepat, PAS yakin pengundi di Nenggiri bijak membuat penilaian serta tidak mudah terpengaruh

1:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan ahli Bersatu keluar parti dan menyertai Umno hanyalah ‘taktik lama’ yang sering digunakan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah modal yang digunakan pemimpin BN ketika berkempen, semata-mata untuk meraih undi serta mengelirukan pengundi.

“Sudah-sudahlah…drama lompat parti ini taktik biasa mereka (Umno), jadi kita minta pengundi tak usah ‘termakan’, ini modal mereka (BN) untuk kelirukan rakyat kononnya masih dapat sokongan pengundi.

“Dakwaan ramai lagi akan berpaling tadah dan sertai mereka (Umno) itu tak tepat. PAS yakin pengundi di Nenggiri bijak membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh,” katanya hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan seramai 480 ahli Bersatu diketuai oleh bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin, menyerahkan borang keahlian Umno.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan tertinggi Bersatu yang memilih bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) di Nenggiri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengesahkan 480 ahli Bersatu diketuai bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin, menyerahkan borang keahlian Umno. – Azim Rahman/Scoop, 6 Ogos, 2024

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, penyertaan ahli Bersatu itu juga antara cubaan Umno untuk menepis cerita ketidakpuasaan ahli akar mereka berhubung kerjasama bersama DAP.

“Mereka hanya nak alih tumpuan dan kemarahan ahli yang tidak suka dengan kerjasama bersama DAP, yang tidak sama matlamat perjuangan,” katanya.

Ditanya mengenai isu dibangkitkan terhadap calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail, Tuan Ibrahim berkata, pengundi tidak akan mudah terpedaya dengan isu digunakan pihak lawan kononnya Bersatu tandus calon untuk mewakili PN.

“Sebaliknya isu itu diguna Umno dan BN kerana mereka tertekan dengan sambutan baik dan luar biasa pengundi serta penduduk terhadap calon PAS di Nenggiri,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor menegaskan tindakan 480 ahli parti itu menyertai Umno tidak mengejutkan, sebaliknya ia menjadi rutin biasa setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK). – 6 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related