Bekas guru dituduh bunuh Cikgu Istiqomah

Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan

12:03 PM MYT

 

ALOR GAJAH – Seorang lelaki yang merupakan bekas guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang guru wanita pada hujung tahun lepas.

Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohd Fadzly yang tidak diwakili peguam dituduh membunuh Istiqomah Ahmad Rozi, 33, di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang di sini, antara 26 hingga 31 Dis 2023.

Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim yang tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu berkaitan kes bunuh dan memohon tarikh bagi laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta bedah siasat.

Teoh kemudiannya menetapkan 22 Okt depan bagi tarikh serahan laporan DNA dan bedah siasat.

Terdahulu, pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah dipenuhi pengamal media yang membuat liputan mengenai kes berkenaan seawal 8 pagi.

Beberapa ahli keluarga mangsa turut kelihatan menghadiri prosiding itu sebelum ke Hospital Melaka bagi urusan tuntutan jenazah.

Pada 6 Jan lepas, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki di dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini.

Selepas kira-kira lapan bulan, pada 12 Ogos lepas Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, menahan pasangan suami isteri berumur 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos. – 19 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related