74 persatuan penduduk gesa projek pembangunan di KL ditangguhkan selama 2 tahun

Penangguhan itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengkaji semula kesesuaian projek berlandaskan ciri-ciri pembangunan mampan, terutama projek besar berkepadatan tinggi

8:06 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua projek pembangunan di ibu kota termasuk projek yang sudah menerima perintah pembangunan (DO) digesa ditangguhkan selama dua tahun bagi membolehkan isu pembangunan yang tidak terkawal di bandaraya ini diselesaikan.

Perkara itu dicadangkan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA +SD) mewakili 74 persatuan daripada 10 konstituensi penduduk sekitar ibu kota kepada Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, baru-baru ini.

Menurut pengerusi KLRA +SD, Tan Booi Charn, cadangan itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengkaji semula kesesuaian projek berlandaskan ciri-ciri pembangunan mampan, terutama projek besar berkepadatan tinggi, projek melibatkan pemusnahan kawasan hijau dan di tanah tinggi serta cerun curam.

“Tempoh penangguhan selama dua tahun itu juga membolehkan proses membaik pulih dan menaik-taraf infrastruktur serta kemudahan awam seperti kapasiti jalan raya, paip dan pam bekalan air, kabel dan bekalan elektrik, pengairan dan saliran, kumbahan, sekolah, hospital serta rekreasi.

“Ia boleh digunakan untuk melengkapkan pemetaan utiliti dan audit paip bawah tanah dengan secepat mungkin selain bekerjasama dengan pakar dari golongan ahli akademik, profesional serta penduduk setempat kerana mereka lebih arif dalam subjek yang berkait rapat dengan tempat tinggal mereka,’’ katanya dalam kenyataan di sini.

Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu mengejutkan banyak pihak. – Gambar fail Scoop, 10 September, 2024

Pada 23 Ogos lalu, kejadian tanah mendap mengejutkan ramai di mana dalam insiden tersebut, seorang wanita warganegara India berusia 48 tahun, terperangkap dan tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Insiden ini menyebabkan kebimbangan penduduk ibu kota mengenai tahap keselamatan di bandaraya ini.

Selain itu, Booi Charn berkata, keperluan mewujudkan rumah mampu milik tidak boleh dijadikan alasan untuk meningkatkan kepadatan penduduk tanpa kajian terperinci.

Bagi pembangunan semula pula, katanya, DBKL perlu memastikan persetujuan sebulat suara daripada pemilik rumah, menghentikan semua pemaju untuk mendekati pemilik yang sedia ada buat enam bulan sebelum pemilik rumah mendapatkan maklumat hak mereka dalam inisiatif pembangunan semula.

“Ini untuk memastikan pemilik rumah tidak ditindas dan DBKL dicadangkan mewujudkan satu agensi baru yang bertanggunjawab dalam pembangunan semula,’’ katanya.

Booi Charn turut meluahkan kekesalan dengan kegagalan DBKL dalam mengemukakan maklum balas yang terperinci dan kukuh terhadap aduan, persoalan, bantahan oleh persatuan penduduk tentang projek pembangunan baru atau dinaik taraf.

Jelasnya, rata-rata wakil persatuan penduduk juga kesal di atas kelewatan, ketidak telusan, dan juga ketiadaan balasan di pihak DBKL berhubung permohonan rasmi rundingan/perbincangan bersama yang dikemukakan oleh persatuan secara rasmi.

“Ia terutama projek pembangunan besar yang didapati tidak mematuhi Pelan Tempatan KL (KL City Plan) yang diwartakan mahupun permohonan rasmi sesi dialog bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesebuah pembangunan baru atau naik taraf.

“Pandangan warga Kuala Lumpur bukan sahaja dinafikan di peringkat pembangunan berdekatan tempat kediaman tetapi diperingkat wilayah berhubung perancangan bandar Kuala Lumpur semasa proses perlaksanaan Pelan Struktur KL 2040,’’ katanya.

Justeru, KLRA +SD memohon satu tarikh perjumpaan dengan Maimunah bagi perbincangan selanjutnya. – 10 September, 2024

Topics

 

Hangat

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Ahmad Samsuri kekal sebagai MB Terengganu

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat sini hari ini

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

Related