KUALA LUMPUR – Kajian mengenai syarikat Global Ikhwan Holdings Sdn. Bhd. (GISB) pernah dibentang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) namun tiada tindakan, dakwa Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali sebagai Dr Maza.
Dakwanya, isu tersebut tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa pihak enggan mengambil risiko atau ada sebab lain.
“Namun di atas perkara tertentu, pihak yang mereka bentangkan tidak mengangkat kes ini mungkin atas sebab tertentu, mungkin ada yang enggan ambil risiko. Ada yang lihat tak begitu besar. Mungkin sebab musabab yang lain,” katanya dalam hantaran video merujuk kepada siri kuliah mingguan yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar malam tadi.
Dr Maza merupakan individu yang membangkitkan isu mengenai GISB selepas kumpulan yang membuat kajian mengenai perkara berkenaan menemui Jawatankuasa Fatwa Perlis.
Selepas mendapat penerangan mengenai aktiviti GISB, Dr Maza telah mendedahkan perbuatan kumpulan tersebut menerusi ceramahnya pada bulan lepas .
“(Dalam ceramah) Saya tidak sebut nama kumpulan itu (dalam ceramah), mereka rasa saya bermaksud mereka (iaitu) makan air kotoran, minum air bulu, janggut misai.
“Apa yang didedahkan lebih banyak, darah bekam, berapa banyak bulu yang diambil. Ada pihak tertentu kata kononnya Dr Maza pernah pergi (makan di restoran). Ya saya akui ketika kita ke Jordan, oleh kerana pelajar cadangkan tempat makan, kita pergi. Itu pada 2015 dan ia menunjukkan kita tiada permusuhan pada peringkat awal. Apabila kes ini dibentangkan, kita ambil langkah bahawa ia sebagai tanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun selepas pendedahan Dr Maza itu, GISB menuntut beliau membuat permohonan maaf. Selain Dr Maza, individu lain ialah Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Jamali Mohd Adnan dan Ustaz Daud Lin Abdullah atas dakwaan memfitnah.
Mengulas lanjut, Dr Maza berkata, beliau telah menghantar surat kepada pemimpin GISB untuk bertemu di Perlis pada 20 September ini.
“Saya panggil mereka dan katanya mereka setuju untuk hadir,’’ katanya.
Semalam, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Abu Hafiz Salleh Hudin berkata Jakim tidak layak diberikan kredit dalam isu melibatkan GISB, malah ujarnya ada pihak berkuasa agama yang tidak percaya kepada hasil dapatan dan pemantauan aktivis yang dijalankan terhadap syarikat tersebut.
“Saya yang terlibat langsung dan tak langsung, Jakim tak layak diberikan kredit. Menteri Agama layak diberikan kredit. Jakim benar-benar tak berguna dalam proses ini. Bahkan yang tak mahu ‘percaya’ dapatan para pengkaji diperingkat awal sehingga terpaksa ke Perlis,’’ katanya menerusi tulisan di aplikasi X.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 171 orang penyelia dan penjaga 20 premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB telah ditahan.
Dalam serbuan polis juga, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global pada Rabu. – 13 September, 2024