Mpox: KKM pertingkat saringan di semua pintu masuk sempadan negara

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata usaha berkenaan digiatkan berikutan satu kes melibatkan seorang lelaki dikenal pasti dijangkiti mpox

6:21 PM MYT

 

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan kawalan saringan setiap individu di semua pintu masuk sempadan negara bagi mengekang penularan mpox atau cacar monyet.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata usaha berkenaan digiatkan berikutan satu kes melibatkan seorang lelaki dikenal pasti dijangkiti mpox.

Beliau berkata saringan dilakukan mengikut prosedur termasuk memeriksa suhu badan dan mereka yang disyaki mengalami simptom mpox akan dibawa untuk menjalani saringan serta pemeriksaan selanjutnya.

“KKM juga turut mengutamakan kesihatan petugas kesihatan dan akan mengeluarkan kenyataan berhubung vaksin bagi mengekang jangkitan itu.

“Setakat ini jangkitan berkenaan masih terkawal dan belum menjadi satu wabak besar, namun KKM memberikan perhatian terutamanya golongan berisiko,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap Peringkat Negeri Kelantan di Laman Siti Khadijah, Jalan Buluh Kubu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata KKM telah memberi garis panduan cara mpox boleh menjangkiti kumpulan berisiko jika ada simptom.

“KKM bersedia menghadapi masalah mpox ini dan kita juga sudah memaklumkan kepada semua klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Beliau meminta masyarakat agar berwaspada memandangkan mpox datang dari luar negara akibat aktiviti berisiko atau bersosial dengan kumpulan melakukan aktiviti kurang sihat atau mereka yang sudah dijangkiti. 

Sementara itu, Lukanisman berkata KKM menjangkakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula Okt ini sebaik saja peraturan dan perintah berkaitan (akta) diwartakan.  

“Kita telah menguatkuasakan Akta 852 yang terbaru dan sedang menunggu Pejabat Peguam Negara (AGC) memberi maklum balas berhubung perkara ini. Kami jangka undang-undang ini akan mendapat maklum balas pada Oktober ini dan penguatkuasaannya dapat dilaksanakan segera,” katanya. – 21 September, 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

BDS Malaysia says has never called for boycott of KFC

NGO chief says customers snubbing fried chicken franchise mainly due to prices

Related