Kemenangan di persada antarabangsa bukti bakat belia tempatan

Malaysia berjaya merangkul satu pingat gangsa dan empat Medallion for Excellence dalam pertandingan WorldSkills Competition (WSC) di peringkat antarabangsa

8:16 PM MYT

 

BARU-BARU ini dilaporkan bahawa graduan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan mendapat gaji premium pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000, suatu angka yang jauh melebihi pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata keputusan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) itu adalah untuk menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan.

Pada awalnya TVET merupakan satu alternatif bagi pelajar yang tidak berminat dengan pendidikan konvensional.

Namun kini, perspektif itu sudah mula berubah dimana TVET dilihat sebagai suatu industri penting untuk memenuhi keperluan industri. TVET yang memberi tumpuan khusus kepada kemahiran praktikal dan teknikal juga dapat membantu mengurangkan jurang kemahiran antara pendidikan dan keperluan pasaran kerja kini.

Selaras dengan tumpuan utama Dasar TVET Negara 2030, dan komited dalam mengangkat imej TVET pada masa depan, Kerajaan juga aktif dalam pertandingan di peringkat antarabangsa seperti WorldSkills Competition (WSC) baru-baru ini dimana Malaysia berjaya merangkul satu pingat gangsa dan empat Medallion for Excellence.

Pertandingan yang dianjur dua tahun sekali itu merupakan pertandingan kemahiran peringkat tertinggi di dunia yang menitikberatkan kemahiran teknikal dan vokasional dalam kalangan belia serta mengiktiraf belia-belia yang berkemahiran tinggi.

Pertandingan ini terbuka kepada semua negara yang menjadi ahli WorldSkills International (WSI). Malaysia telah diterima sebagai ahli WSI sejak 1993.

Menyedari kepentingan pertandingan ini, Kerajaan turut menyediakan insentif khas sebagai tanda galakan seperti wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas, RM20,000 untuk pemenang pingat perak, RM10,000 untuk pemenang pingat gangsa dan RM4,000 bagi Medallion for Excellence.

Pencapaian Malaysia di arena antarabangsa merupakan satu pencapaian yang membanggakan semua pihak yang terlibat, sehingga Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong sendiri menyifatkan pasukan itu sebagai pasukan Olimpik Kemahiran Malaysia.

“Pada saya, ia suatu pencapaian yang membanggakan kerana Malaysia berjaya mengatasi negara maju seperti Sweden, Sepanyol dan New Zealand,” katanya ketika berucap di satu majlis baru-baru ini untuk meraikan 15 peserta ke WSC itu.

“Ini era kecerdasan buatan (AI), era teknologi tinggi dan saya yakin dengan kejayaan generasi muda kita, Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran AI pada abad ke-21,” katanya lagi, seperti dilapor Bernama.

Steven juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada peserta pertandingan kemahiran seperti ini yang mampu mempromosikan kecemerlangan tenaga mahir negara di peringkat antarabangsa dan membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara adalah kompeten, berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Penghargaan juga diberikan kepada semua Kontinjen Negara iaitu peserta, pakar, jurulatih termasuk urus setia Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta agensi-agensi lain yang telah memberikan komitmen yang tinggi.

Pada awalnya TVET merupakan satu alternatif bagi pelajar yang tidak berminat dengan pendidikan konvensional namun kini, perspektif itu sudah mula berubah dimana TVET dilihat sebagai suatu industri penting untuk memenuhi keperluan industri. – Gambar ihsan Kementerian Sumber Manusia, 4 Oktober, 2024

15 peserta itu mengambil bahagian dalam 14 kategori termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

Wong Hsun Wei yang meraih pingat gangsa dan dinobatkan Best of Nation pada acara penutup WSC 2024 menyatakan perasaan terujanya dalam menyertai pertandingan itu.

“Ini adalah peluang yang baik untuk mencabar diri saya, mempamerkan kemahiran saya dan berinteraksi dengan orang lain yang mempunyai minat yang sama. Saya gembira dapat bertemu peserta lain dari seluruh dunia. Persaingan di pertandingan antarabangsa merupakan suatu peluang untuk pertumbuhan dan pembelajaran,” katanya dalam satu temu bual.

Menurut Wong, dia memilih bidang TVET kerana ia memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi.

“TVET menyediakan kemahiran praktikal yang sering mendapat permintaan tinggi dan menyokong individu dalam mencari kerjaya yang stabil dan memuaskan. Ini penting bagi saya,” katanya lagi.

Dia turut mencadangkan insentif kewangan seperti biasiswa, geran atau subsidi untuk menarik minat pelajar menyertai pengajian TVET.

Kesuma turut komited dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Pelbagai program dan rancangan yang dilakukan untuk menanda aras tahap kemahiran belia negara ke arah melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia.

Namun begitu, semua pihak perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kualiti TVET di negara ini.

Dalam satu laporan Bernama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menitikberatkan peranan tenaga pengajar TVET bagi memastikan industri itu sentiasa fleksibel dan inklusif bagi memenuhi keperluan semasa.

Beliau menyeru tenaga pengajar TVET agar sentiasa bersedia untuk beradaptasi dengan kemahiran pengajaran dan pembelajaran terkini terutama dalam mengadun dan menyepadukan teknologi pendigitalan dan AI supaya sektor latihan TVET negara tidak ketinggalan, lapor Bernama.

Kesuma melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menawarkan latihan TVET di peringkat Sijil, Diploma dan Diploma Lanjutan bagi menghasilkan tenaga kerja mahir dan separa mahir.

Program-program latihan TVET yang ditawarkan ini adalah penting untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan oleh industri. Terdapat 32 Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di seluruh negara yang menawarkan lebih 50 program dan 112 kursus kepada lepasan sekolah.

UP_TVET merupakan sebuah portal rasmi yang disediakan untuk memudahkan calon-calon lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan individu berminat membuat permohonan ke kursus-kursus yang ditawarkan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Portal UP_TVET ini membolehkan calon mengakses maklumat terkini berkaitan kursus, syarat kelayakan, serta institusi yang menawarkan program TVET di seluruh negara.

Calon lepasan SKM Tahap 3 boleh membuat permohonan secara langsung melalui portal UP_TVET di pautan mohon.tvet.gov.my/, manakala calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula boleh memohon melalui sistem UPU.

Dengan adanya portal UP_TVET, proses permohonan menjadi lebih mudah, pantas, dan efisien, sesuai dengan keperluan calon yang ingin menceburi bidang TVET dan membina kerjaya dalam industri kemahiran. – 4 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

Related