KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah memaklumkan beliau akan hanya menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden parti berkenaan pada pemilihan bulan depan sekiranya diminta berbuat demikian oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bercakap kepada Scoop, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang itu turut mempersoalkan tindakan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang tidak bertanding jawatan Naib Presiden namun membuat kenyataan seolah-oleh mereka melanggar ‘pelan kompromi’ yang dicadangkan Muhyiddin.
“Kenapa melihat saya, Razali (Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris) dan Ketua Bersatu Batu Kawan, A’ziss Zainal Abiddin yang bertanding Naib Presiden sebagai ancaman?
“Saya tidak popular, kenapa takut sangat, atau adakah kerana kami terlalu bagus hingga diangkat oleh akar umbi sebagai antara calon Naib Presiden…saya tidak tahu, jadi biarlah pemilihan ini membuktikan.
“Tapi istilah digunakan (Wan Ahmad Fayhsal) bahawa ‘Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa’, sebenarnya mudah sahaja, Tan Sri boleh sahaja hubungi saya dan saya beri jaminan kalau Tan Sri hubungi saya dan minta tarik diri, saya tarik diri
“Tan Sri ada nombor telefon saya, dan kami kerap WhatsApp dan belum sekali pun Tan Sri panggil saya atau Datuk Razali untuk minta tarik diri.
“Kami tidak ada masalah, kalau itulah niat dan hasrat Presiden (untuk minta tarik diri), tapi Tan Sri tidak akan buat begitu, ini hanyalah cakap-cakap orang yang tidak ada kena mengena,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.
Beliau juga tidak menafikan ada beberapa pemimpin termasuk rakan dalam parti yang mencadangkannya supaya menarik diri.
“Mungkin kerana mereka melihat saya dan Razali sebagai pesaing, kalau bertanding ada kemungkinan besar untuk menang
“Tapi saya jawab, orang yang sepatutnya untuk beri nasihat dan cadangan itu bukan Wan Fayhsal, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mahu pun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebaliknya hanya Presiden parti.
“Setakat ini tidak ada pun permintaan atau arahan terus dari Presiden malah saya juga ada dalam mesyuarat bersama Tan Sri baru-baru ini, namun beliau tidak ada cakap apa-apa mengenai hal itu,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan adalah proses biasa dalam mana-mana parti sekali pun, justeru perlu diberikan peluang akar umbi untuk menilai kepimpinan sedia ada dan calon-calon yang bertanding.
“Saya bertanding untuk memastikan demokrasi berkembang maju dalam parti. Apapun keputusan terserah perwakilan, biar proses itu berjalan dan mereka tentukan siapa yang mereka mahu,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Muhyiddin ‘amat sedih dan kecewa’ terhadap pemimpin parti yang melanggar ‘pelan kompromi’ supaya lima jawatan tertinggi daripada Presiden, Timbalan dan tiga kerusi Naib Presiden tidak dipertandingkan.
Beliau berkata tindakan pemimpin terbabit merebut jawatan Naib Presiden dilihat melanggar keputusan disepakati mereka yang turut menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Ahli Parlimen Machang itu berkata, calon termasuk ahli MPT bertanding jawatan Naib Presiden terbabit boleh menarik diri sebelum pengundian pada 2 November ini bagi menunjukkan mereka ‘patuh’ kepada formula dicadangkan Presiden parti..
Sebelum ini, menerusi pelan itu, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu dan dibantu Hamzah sebagai timbalannya, manakala Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Radzi Jidin, selain Timbalan Presiden, Ahmad Faizal dicadangkan mengisi tiga kerusi Naib Presiden.
Selepas pencalonan dimuktamadkan minggu lalu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon bakal merebut tiga kerusi Naib Presiden. – 11 Oktober, 2024