RUU Mufti tidak digubal secara tergesa-gesa: Na’im

Na’im turut menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik

1:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi bacaan kali kedua dan ketiga, digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Sebaliknya, kata Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar, RUU Mufti melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan ia komprehensif, teratur serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik.

“Penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil oleh Kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan Hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia,’’ katanya.

Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen ini.

Semalam, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya untuk berdialog dengan Na’im secara terbuka untuk membincangkan mengenai RUU Mufti tersebut.

“Menteri Agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan yang selaras dengan idea Madani.

“Malangnya beliau seakan sedang membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan seperti yang pernah dilakukan oleh Ibn Tumart,’’ katanya.

Beberapa pihak membantah pembentangan RUU Mufti ini dengan alasan ia memberikan kuasa yang luas kepada individu yang tidak dipilih tetapi dilantik seorang menteri, selain mengawal rapi bagaimana umat Islam mengamalkan ajaran agama.

RUU Mufti juga didakwa sebagai autoritarianisme dan memberikan kekuasaan mutlak kepada Mufti. – 15 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Mount Ruang eruption: MAS, AirAsia, Batik Air cancel flights between KL and Sabah, S’wak

Multiple flights between KL and both Sabah as well as Sarawak have been cancelled following the eruption of Mount Ruang in Indonesia.

Related