KUALA LUMPUR – Pelan kompromi yang diumumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan parti berkenaan seolah-olah cenderung kepada politik elitisme iaitu hanya segelintir pemimpin kanan menentukan hala tuju pemilihan.
Ketika bercakap kepada Scoop, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, ia sekali gus mengabaikan kepentingan prinsip keterbukaan dan meritokrasi.

“Hal ini juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi yang melihat pelan kompromi sebagai langkah untuk mengekalkan status quo dan tidak memberi peluang kepada bakat baru untuk naik dalam kepimpinan parti, sebaliknya mengekalkan wajah lama untuk terus mengawal parti dari atas,’’ katanya kepada Scoop.
Awang Azman berkata, pelan kompromi ini secara jelas mencabar prinsip asas demokrasi dalam parti yang mana setiap ahli seharusnya mempunyai kebebasan untuk bertanding bagi apa-apa jawatan yang diinginkan.
“Apabila pelan kompromi dilaksanakan, ia menghadkan peluang ahli yang lebih layak dan berpotensi untuk memimpin sekali gus menghalang kebolehan untuk mendapatkan kualiti kepimpinan yang lebih baik.
“Dengan membenarkan calon konsensus sahaja, parti melepaskan peluang untuk mengembangkan kepimpinan yang lebih progresif dan dinamik, yang boleh memberi impak positif kepada Bersatu dalam jangka masa panjang,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin ‘amat sedih dan kecewa’ terhadap pemimpin parti yang melanggar ‘pelan kompromi’ supaya lima jawatan tertinggi daripada Presiden, Timbalan dan tiga kerusi Naib Presiden tidak dipertandingkan.
Beliau berkata tindakan pemimpin terbabit merebut jawatan Naib Presiden dilihat melanggar keputusan disepakati mereka yang turut menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Berikutan itu beberapa calon Naib Presiden mempersoalkan kenyataan tersebut kerana mereka menjadi calon atas sokongan akar umbi.
Pertandingan bagi jawatan Naib presiden Bersatu pada pemilihan parti itu bulan depan menyaksikan persaingan enam calon iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin yang akan bertanding untuk mempertahankan jawatan disandang mereka itu.
Empat lagi calon yang turut bersaing ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, A’ziss Zainal Abiddin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
Dalam pada itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan pula berpandangan sebaliknya dan menyifatkan jawatan penting tidak dipertandingkan dalam Bersatu bagi mengelakkan perpecahan.
Pelan kompromi itu, katanya, hanya melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung yang tidak akan dipertandingkan sebaliknya pemilihan tertakluk di bawah persetujuan ahli majlis tertinggi.
Selain tiga jawatan itu, ahli akar umbi bebas untuk bertanding dan memilih calon yang dirasakan layak dengan perebutan kerusi yang dipertaruhkan.
“Bila Wan Ahmad Fayhsal mengatakan ahli tidak menghormati keputusan yang dibuat majlis tertinggi Bersatu, ia tidak melibatkan ahli Bersatu yang lain.
“Pelan kompromi adalah biarkan (benarkan) tiga lagi ahli majlis tertinggi bertanding jawatan naib presiden, itu adalah kompromi walaupun persetujuan telah dibuat ketika mesyuarat majlis tertinggi sebelum ini (yang mana hanya jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha tidak dipertandingkan),” katanya. – 23 Oktober, 2024