‘Tiada perpecahan, tak wujud kem pun dalam pemilihan Bersatu’ kata Radzi

Kita cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan kita sebelum pemilihan dan menambah kekuatan kita selepas pemilihan ini : Radzi

6:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin menafikan wujud perpecahan dalam parti itu termasuk dakwaan wujud ‘kem’ pemimpin tertentu sepanjang tempoh pemilihan parti.

Beliau sebaliknya mengingatkan ahli yang tidak berpuas hati dengan pemilihan untuk kembali memberi tumpuan memperkukuhkan parti supaya kembali dekat dengan rakyat.

Katanya, apa yang lebih penting pemilihan berjalan dengan teratur dan lancar dan kini adalah masa untuk terus bergerak ke hadapan.

“Dalam Bersatu sebenarnya tiada sebarang perpecahan pun apa yang penting kita bersama kepimpinan baru ini menyusun dalam tempoh yang ada ini untuk memastikan parti terus kuat,

“Dalam apa-apa perjuangan, perlu fokus ke depan, (memang) dia akan ada kiri kanan perkara yang macam-macam cerita yang ada, tapi fokus (penting) bahawa parti perlu jadi lebih kukuh dan sentiasa dekat dengan rakyat.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan kita sebelum pemilihan dan menambah kekuatan kita selepas pemilihan ini.

“Jadi kita ambil kira semua perkara untuk pastikan parti terus kuat ke hadapan,” katanya kepada media selepas pengumuman senarai penuh pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027 hari ini.

Diminta mengulas tindakan ahli Bersatu di beberapa bahagian keluar parti, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pihaknya ambil maklum perkara itu dan barisan kepimpinan baharu akan turun padang untuk memperbetul keadaan.

“Saya juga menggalas tanggungjawab yang cukup besar khususnya bersama rakan (dalam parti) untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Jadi ini merupakan satu ruang yang amat penting yang akan saya gunakan supaya Bersatu akan terus kukuh,” katanya.

Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata era di mana pengundi memberikan undi kepada Bersatu kerana protes dengan parti lain sudah tamat. – Gambar dari Facebook, 4 November, 2024

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipilih semula, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, strategi dan gerak kerja perlu dilaksana segera bagi membolehkan rakyat kembali yakin terhadap kemampuan parti itu untuk memimpin negeri dan negara.

Beliau berkata, era di mana undi rakyat diberikan kepada Bersatu kerana protes kepada parti lain sudah tamat.

“Rakyat mahu melihat kompetensi dan kemampuan Bersatu dan parti itu akan kalah jika terus mengharap kepada undi protes.

“Saya menyeru semua ahli Bersatu agar kembali merapatkan saf dan memperkukuh kesatuan kita sebagai sebuah keluarga besar.

“Kekuatan kita terletak pada kesatuan fikrah dan kesatuan amal. Jika dapat disuburkan, Insya-Allah rakyat akan memberi kepercayaan kepada kita untuk memimpin,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pemimpin Bersatu bermuhasabah, mengenal pasti kelemahan parti, baik daripada segi pengurusan mahupun perjalanan pemilihan.

“Ahli Bersatu juga perlu menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan semua perkara dan tidak membawanya keluar sehingga boleh digunakan oleh musuh untuk menyerang parti sendiri,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam sidang medianya berkata, JPP menerima sebanyak 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan.

“Ada yang menghantar selepas tempoh tamat, JPP tidak mempertimbangkannya. Asas aduan dan bantahan adalah pelbagai, antaranya berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi.

“JPP Pusat telah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa yang dimiliki oleh JPP, selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti,” katanya. – 4 November, 2024

Topics

 

Hangat

Sambutan Hari Merdeka yang cukup luar biasa, PM zahir penghargaan pada semua

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semangat merdeka rakyat itu akan terus diperkukuh dan tersemat jitu di setiap sanubari segenap lapisan masyarakat.

Police have apologised to us, says UK couple who paid RM100 speeding fine

The British road-tripping couple who paid RM100 to a policeman for a purported speeding summons say police have apologised to them.

National football legend Khalid Ali dies at 66

The Football Association of Malaysia (FAM) announced Khalid’s death in a Facebook post today, which said that he had been fighting lung cancer for nearly a year.

Related