KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, dijangka dipanggil sekali lagi untuk memberikan keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Menurut sumber, mereka dijangka berbuat demikian pada pagi ni.
“(Ia) untuk sambung tanya lagi pasal dokumen-dokumen yang diambil hari itu,’’ katanya ringkas.
Semalam, Vivy dan Fadzaruddin telah dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM dan tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang dan diiringi peguam.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu.
Pada Isnin, SPRM telah mengambil beberapa dokumen berkaitan pelaburan dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) di beberapa lokasi.
Difahamkan, ia dilakukan serentak di Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan ibu pejabat FashionValet di Bangsar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata, pihaknya mengambil beberapa dokumen kewangan susulan serbuan di empat premis. – 6 November, 2024