‘Adakah pelantikan Dusuki sebagai Peguam Negara untuk balas budi’ soal Mas Ermieyati

Isu ini perlu dijawab bagi memastikan tiada lagi persepsi negatif terhadap perundangan negara, kata Mas Ermieyati

4:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini membangkitkan persoalan mengenai ‘cakap-cakap’ di luar mengenai pelantikan Peguam Negara yang baharu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang didakwa ada kaitan dengan balas budi.

Menurut Mas Ermieyati, ini kerana Mohd Dusuki sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (ACG) yang terlibat dalam hujah dan alasan semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan (DNAA) dari 47 pertuduhan.

“Pelantikan Peguam Negara ini menjadi cakap-cakap di luar sana apabila beliau sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara dan terlibat dalam memberikan hujah dan alasan kenapa Yang Berhormat Bagan Datuk dilepas dan dibebaskan (DNAA).

“Adakah disebabkan budi yang diberikan oleh beliau, beliau dapat jadi Peguam Negara, sebagaimana yang disoal oleh rakyat di luar.

“Kita masih ingat dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang menjadi viral, Yang Berhormat Pengerang (Datuk Seri Azalina Othman Said) pernah sebut Perdana Menteri mestilah melantik ‘orang kita’ sebagai Peguam Negara. Jadi inilah hasilnya’’ katanya ketika berbahas di peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mohd Dusuki dilantik sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Justeru, Mas Ermieyati meminta Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) supaya menjawab perkara berkenaan bagi memastikan tiada lagi persepsi negatif terhadap perundangan negara.

Bagaimanapun Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bangun mencelah dan tidak bersetuju apabila isu ‘cakap-cakap’ di luar dibawa ke dalam Dewan Rakyat.

Beliau juga menyifatkan ia sebagai sangkaan jahat.

“Saya menghormati Masjid Tanah tapi bagi saya pandangan berkaitan dengan menuduh Bagan Datuk adalah sangkaan jahat.

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), adakah Masjid Tanah suka bawa ‘cakap-cakap’ dalam dewan.

“Kalau berani sebut di luar, bukan guna Dewan sebagai perkara untuk berbahas,’’ katanya.

Pada 4 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. – 13 November, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related